Sekadar berkongsi rasa jiwa...

Tuesday, April 20, 2010

Dalam Diam 2

Kamil menghulurkan sekeping sampul surat kepada Nurin. Nurin hanya memerhatikan tanpa menyambutnya. Kamil meletakkan sampul surat itu di atas meja Nurin. Nurin memandang Kamil tanpa kata. Keningnya diangkat, tanda ingin mengetahui maksud di sebalik pemberian lelaki berkulit cerah itu. “Balik nanti, bukalah,” Kamil meninggalkan Nurin dengan seribu tanda tanya.

“Assalamua’laikum Nurin. Ada sesuatu yang aku nak bagitahu kau. Pertama sekali, aku nak minta maaf kerana selama ni, daripada kita Tingkatan Satu sampailah kita Tingkatan Tiga, aku selalu kenakan kau, mengata kau, macam-macam lagilah. Aku harap kau dah tak ambil hati, yelah, masa tu kan kita tak berapa matang lagi. Lagi-lagi aku ni,nakal mengalahkan budak Tahun Enam je.

Kedua...aku tahu mesti kau perasan kan, perubahan aku sekarang?Aku dah tak galak mengusik dan menyakat kau. Aku dah aktif bersukan dan aku dah naik basikal pergi sekolah. Kau tahu tak kenapa aku buat semua tu? Sebab...aku sukakan kau. Aku buat semua tu sebab aku nak jadi lebih rapat dengan kau. Kalau aku masuk team bola sepak sekolah, dapatlah aku tengok kau berlatih main bola jaring tiap-tiap petang. Kalau aku naik basikal pergi sekolah,tak naik kereta macam selalu, dapatlah aku bertembung dengan kau. Huh, macam budak-budak pulak rasanya.

Aku harap apa yang aku cakap ni, kau dapat terima dengan hati terbuka. Aku takut juga nak cakap dengan kau hal yang sebenar, yelah, aku takut kalau-kalau kau bencikan aku setelah apa yang aku buat pada kau selama ni. Aku... aku nak jadi kawan istimewa kau, lebih daripada kawan biasa. Boleh tak? I love you,” dan lagu ‘One In A Million’ dendangan Bosson berkumandang.

Gambar-gambar Nurin muncul. Gambar-gambar dia ketika menyertai acara lumba lari di Hari Sukan Sekolah, gambar-gambar dia yang disakat Kamil ketika jamuan akhir tahun kelas setiap tahun, gambar-gambar dia dan Najwa ketika menyertai sayembara puisi anjuran Persatuan Sastera sekolah tahun lepas, dan yang paling mengejutkannya, gambar-gambar candidnya yang dirakamkan ketika dia sedang menjalani latihan bola jaring, ketika dia sedang mentelaah pelajaran di pusat sumber sekolah dan ketika dia dan Najwa menghabiskan masa di taman mini sekolah sementara menunggu waktu kelas tambahan mereka bermula. Bila Kamil melakukan semua itu? Dia tidak sedar!

Najwa terlopong mendengar kisah Nurin. Tidak disangkanya Kamil sekreatif itu. Merakamkan diri sendiri meluahkan perasaan cinta kepada seorang sahabat yang sejak zaman-berzaman tidak puas-puas diusik dan diejek. Menujukan lagu cinta kepada sahabat yang diminati dalam diam. Menyimpan gambar-gambar insan yang disayangi tanpa pengetahuan insan bertuah itu. Fuhh, kalaulah ada lelaki yang buat begini pada aku! Najwa berbisik sendirian. Dia mula membayangkan jika dia yang berada di tempat Nurin. Alangkah bahagianya hidup.

“Apa yang aku nak buat ni, Naj?” angan-angan Najwa mati dengan pertanyaan Nurin. Dia mengerling rakannya di sisi. Fikirannya mula ligat memikirkan penyelesaian bagi masalah Nurin itu. “Kau sayangkan dia?” Najwa bertanya Nurin kembali. Nurin memandang wajah Najwa tajam. Soalan Najwa itu kedengaran sinis di pendengarannya.

“Aku nak tahu perasaan kau pada dia. Sekarang jangan fikirkan pasal orang lain buat sementara waktu, cuma kau dan dia. Apa yang kau rasa pada Kamil? Suka? Benci? Sayang?” Najwa cuba menebak perasaan seorang sahabat sambil menyingkirkan prasangka yang mula meliar dalam diri sahabatnya itu. Dia tidak mahu ada apa-apa unsur yang boleh mencemarkan persahabatan mereka yang terjalin sekian lama, terutamanya salah faham.

Nurin mengeluh. Dia sendiri masih cuba mencari-cari perkataan yang sesuai untuk meluahkan perasaannya. “Entahlah Naj. Kau tahu saja lah, dulu kan dia selalu menyakat aku, mengacau aku...masa itu, aku memang menyampah betul pada dia. Satu-satunya orang yang buat hidup aku tak tenteram setiap hari. Tapi, sekarang ni, bila dia dah berubah, perangai pun makin elok, aku suka pula tengok dia. Dia bukannya jahat sangat sebenarnya, nakalnya yang lebih,” Nurin bermain-main dengan hujung bajunya. Lagak orang sedang dilamun cinta pula! Najwa mengomel sendirian. “Maksudnya?” Najwa meminta kepastian. Dia tidak mahu tersalah tafsir pula. Biarlah tuan empunya diri yang berterus-terang.

“Aku sukakan dia dan aku sayangkan dia...sebagai seorang kawan,”Nurin menoktahkan kata-katanya. Menghela nafas panjang. Pengakuan itu bagai memaksanya mengerahkan seluruh tenaganya, menggunakan segala kudrat yang bersisa dalam diri.

“Kau ni hebatlah Nurin. Aku belum jumpa lagi orang setia macam kau,” Najwa menepuk-nepuk bahu Nurin. Menzahirkan kekaguman dan kebanggannya dengan sahabatnya yang seorang itu. “He’s my first love. And I hope, he will be my last too,” Nurin mengukir senyum. Terbayang wajah Helmi di ruangan matanya. “Kalau macam tu, berterus-teranglah pada Kamil,” Najwa bersuara.

Tuesday, April 13, 2010

Dalam Diam 1

Konsentrasi Nurin tehadap pembacaannya terganggu. Dia mengangkat muka. Kamil leka menatap kulit buku yang dipegangnya. Nurin terkaku. Apa yang begitu menarik minat Kamil untuk meneliti novel Ramlee Awang Murshid ini? Nurin memetik jari di hadapan sahabatnya itu. Kamil tersentak. Tersengih-sengih bagai kerang busuk. “Apa yang kau tengok?”Nurin bertanya. “Takde apa-apa. Kau minat buku-buku thriller eh?” Kamil menatap wajah Nurin.

Yup, especially by Ramlee Awang Murshid.”

Best sangat ke?”

Sangat. They’re better than love stories.”

“Selalunya aku tengok budak-budak perempuan kelek novel cinta ke sana ke mari. Baguslah kalau kau suka buku-buku macam ni. Membina minda sikit. Takdelah lembik semacam je.”

“Aku pun kadang-kadang baca jugak novel cinta, tapi tak lalu lah nak baca banyak-banyak, rasa seram sejuk, minda pun rasa tak teransang.”

Good.” Dan Kamil melangkah meninggalkan Nurin di taman mini itu. Nurin terpaku. Apa yang tak kena dengan lelaki itu?

***

Loceng yang menandakan tibanya waktu rehat berbunyi panjang. Pelajar-pelajar kelas 4 Alpha bergegas menuju ke kantin, ingin memenuhkan hajat perut yang sudah berkeroncong minta diisi. Nurin beriringan dengan Najwa, sahabat karibnya menuju ke koperasi sekolah. Malas mahu berebut-rebut di kantin. Setelah mendapatkan makanan masing-masing, mereka melabuhkan punggung di bangku yang terdapat di taman mini sekolah.

“Nurin,” Najwa membuka mulut. “Hem,” Nurin menjawab sambil mulutnya sibuk mengunyah roti. “Aku ada beli novel baru, ‘Gemersik Kalbu’. Kau nak pinjam tak? Aku dah habis baca semalam,” Najwa memberi tawaran. Memang selalu dua sahabat itu berkongsi bahan bacaan namun Najwa lebih cenderung kepada novel-novel cinta manakala Nurin lebih menggemari novel genre thriller dan serius. “Nanti dululah Naj. ‘Mandatori’ pun aku tak baca habis lagi. Lagipun minggu ni onwards pack la jadual aku, netball training untuk pagi dah start,” Nurin menolak lembut. Bukan apa, dia bimbang jika sudah mula membelek novel itu, kerja-kerja lain akan tertangguh. Lebih baik dia menyimpan dahulu hasratnya itu jika tidak mahu jadualnya terganggu.

Pemain-pemain bola sepak sekolah pasukan bawah 18 baru pulang dari padang. Latihan mereka minggu ini berlanjutan hingga waktu rehat kerana perlawanan pertama dijadualkan bermula Khamis ini. Kamil mengesat peluh yang berjejeran di muka dan tengkuknya. Bajunya sudah basah bermandi peluh. Dikerling jam di tangan, lagi sepuluh minit waktu rehat bersisa. Dia berkira-kira untuk membeli sesuatu di koperasi sekolah dan mencuri-curi makan sambil menukar baju di bilik persalinan nanti. Melintas di taman mini sekolah, dia terpandangkan Nurin dan Najwa sedang berbual-bual. “Kamil,” Najwa melaungnya. Dia berpaling, mengangkat tangan sambil tersenyum. “Baru balik latihan ke?” Najwa bertanya. Dia mengangguk, mempercepatkan langkah menuju ke bilik persalinan.

“Laju je Kamil tu. Nak ke tandas ke?” Najwa memandang Nurin, bagai meminta jawapan daripada gadis manis itu. Nurin mengerutkan dahi, “Tak patut kau tanya soalan tu pada aku, Naj. Manalah aku tahu dia nak ke mana.” Najwa tergelak besar. Ya tak ya juga, Nurin bersama-sama dengannya daripada tadi, manalah sahabatnya itu tahu hal Kamil. “Pelik aku tengok Kamil tu. Dulu manalah dia nak masuk sukan-sukan ni. Nak tolong rumah sukan hias khemah pun jarang, tau. Tapi tahun ni, huh, bersemangat sungguh aku tengok dia. Masuk lumba lari, tarik tali, ni tup-tup jadi football player pulak. Pelik, pelik,” Najwa menggeleng-geleng kepalanya, bagai ingin memperlihatkan kehairanannya dengan perubahan sikap Kamil.

Nurin membayangkan Kamil, rakan sekelasnya yang seorang itu. Kamil yang dulu selalu mengusiknya. Kamil yang tidak puas-puas menyakatnya ketika mereka di tingkatan satu hingga tingkatan tiga. Dia tersenyum nipis. Bagai terbayang-bayang di matanya kenakalan Kamil. “Woi, tersengih sorang-sorang pulak! Aku tengah bercakap dengan kau ni,” Najwa menolak bahunya.

Nurin tersengih lagi, “Aku teringatkan perangai nakal Kamil tu dulu. Selalu sangat mengacau aku. Kalau sehari tak dengar aku dengan dia bergaduh, sunyilah kelas kita kan?” Najwa menganggukan kepalanya. Bibirnya mengukir senyum. “Kau dengan dia macam anjing dengan kucing. Tapi sekarang aku tengok dah kurang nakalnya tu, dah matang kot,” Najwa dan Nurin tergelak besar.

***

Nurin menarik tangan Najwa menuju ke kelas 4 Beta yang kosong tidak berpenghuni. Dia membawa sedikit kek coklat yang dibakarnya semalam, mahu dikongsinya bersama sahabat karibnya itu. Berdua. Cikgu Mazita pula lambat masuk hari ini, bagai tahu sahaja yang perutnya menjerit-jerit minta diisi. Sejak pagi tadi, dia hanya sempat menjamah sebungkus roti sebelum berkejar-kejar ke bilik mesyuarat sekolah, membantu guru-guru membuat persiapan untuk sambutan hari terbuka sekolah esok. Sebagai ahli jawatankuasa pengelola, Nurin memang tidak menang tangan namun untuk memonteng kelas tambahan Cikgu Mazita petang ini dia tidak sanggup. Gaya dan isi pengajaran guru itu sungguh menarik untuk dia lepaskan begitu sahaja.

“Nurin,” satu suara kedengaran memanggil namanya. Dia dan Najwa yang sedang enak menjamu selera tersentak. Cikgu dah masuk ke? Nurin menoleh. Kamil menyuakan dua butir gula-gula dengan pembalut warna keemasan kepadanya. Dia memandang Najwa. Najwa mengangkat bahu. Nurin kembali memandang Kamil. Dahinya dikerutkan. Hatinya ragu-ragu hendak menyambut gula-gula itu.

“Ahhh!” Nurin terjerit kuat. Pembalut gula-gula di tangannya dicampakkan ke lantai. Seisi kelas memandang ke arahnya. Apa hal minah ni? Najwa bergegas mendapatkan Nurin di belakang kelas. Risau juga hatinya, jarang Nurin menjerit begitu. Ini mesti ada yang tak kena ni! Dan telahannya benar setelah dia melihat Kamil tersengih-sengih di hujung kelas. “Kenapa Nurin?” Najwa memegang bahu Nurin. Pandangannya dihalakan ke arah pembalut gula-gula yang terdampar di lantai kelas. Nurin menjeling Kamil dengan tajam. Geram. Kelihatan seekor lintah bulan perlahan-lahan keluar daripada pembalut gula-gula itu.

“Ambillah Nurin. Untuk kau,” Kamil bersuara. Nurin memandang dua butir gula-gula itu dan Kamil silih berganti. Dia harus berhati-hati. Tidak mahu menjadi mangsa kenakalan lelaki itu lagi. Cukuplah selama tiga tahun ini dia bersabar melayan perangai gila-gila rakan sekelasnya itu. “Kali ni, takde dah lintah bulan atau kumbang. Sumpah!” Kamil mengangkat tangan kanannya separas bahu lagak orang mengangkat ikrar. Najwa tergelak kecil. Boleh percayakah? Hatinya berbisik.

Nurin menyambut pemberian Kamil teragak-agak. Dia membuka salah satu daripada gula-gula itu perlahan-lahan. Sesekali matanya terpejam, takut-takut apa yang ditakutinya menjadi kenyataan. Sebiji gula-gula berwarna merah muda berbentuk riben terserlah di hadapan mata. Nurin memandang Kamil. Kamil tersenyum manis. “Kamil, aku pun nak juga,” Najwa merengek. Tidak adillah kalau hanya Nurin seorang yang mendapat gula-gula yang comel itu. Kamil mengangkat tangan dan berlalu pergi, tidak menghiraukan Najwa yang sudah memuncung.

***

Nurin menongkat kembali basikalnya. Sekilas dikerlingnya tayar basikalnya. Sah, bocor! Najwa yang sudah jauh ke hadapan berhenti melangkah tatkala menyedari dia membebel keseorangan. Menoleh. “Apa hal, Nurin?” Najwa melaung. “Bocorlah aku rasa,” Nurin membuat muka sedih. Menagih simpati Najwa. “Moh le, kita jalan je. Tak lalu aku nak pikul basikal kau tu,” Najwa menyindir sahabatnya. Nurin hanya tersengih sambil menuntun basikalnya mendapatkan Najwa.

“Nurin, kenapa ni?” Kamil tiba-tiba muncul di sebelah Nurin. Najwa yang sedang rancak bercerita terdiam. Terkejut menerima kehadiran Kamil. “Tayar bocorlah, Kamil,” Nurin mengadu. “Kesiannya. Ehm, Nurin, nanti aku nak pinjam nota fizik yang Cikgu Hadi bagi hari tu. Aku nak photostate. Yang aku punya dah hilang,” Kamil memandang Nurin, mengharap persetujuan daripada gadis itu. Nurin mengangguk, “Esok aku bawa.”

Najwa menjeling Kamil. Lelaki itu mengayuh basikalnya perlahan. Najwa meneka dalam hati, yang lelaki itu akan berlalu pergi namun sehingga tiba di simpang masuk ke taman perumahan yang didiami Nurin dan Najwa, lelaki itu setia menemani mereka. “Okey Nurin, Najwa, aku balik dulu. Assalamu’alaikum,” Kamil kembali mengayuh basikalnya laju. Nurin dan Najwa berpandangan sambil menjawab salam Kamil. Serentak.