Buku-buku lama yang terperuk di dalam almari itu ditariknya keluar, disusun mengikut pemiliknya. Buku-buku tebal dan berat Along di sebelah kiri, buku-buku ilmiah Angah di sebelah kanan, buku-buku nipis miliknya di hadapan dan buku-buku kecil berwarna-warni Hakim dibiarkan di dalam almari.
Syakirah mencongak-congak dalam kepala untung yang dia akan dapat jika dia menjual buku-buku itu. Kayo pakcik! Dia ketawa sendirian, namun ketawanya mati sendiri tatkala teringatkan betapa sayangnya Along dan Angah dengan buku-buku itu. Mahu lunyai dia dikerjakan mereka berdua. Hush, takut memikirkannya!
“Ibu,” dia melaung ibu yang sedang membaca akhbar di ruang tamu. “Ye,” ibu menyahut. “Buku-buku lama ni nak letak mana bu? Dah penuh sangat almari ni, dah nak runtuh dibuatnya. Ni sikit tahun lagi mahu lagi dua tiga tan buku bertambah, yelah, Kira kan bakal jadi doktor. Banyak buku Kira guna nanti,” Syakirah berseloroh. Ibu yang mendengar menggeleng-gelengkan kepala. “Perasan betoi anak ibu ni. Takdenye runtuh almari tu. Cuba tanyakan ayah kamu tu, mane nak diletakkan buku-buku tu. Nak dibuang sayang, mahal,” ibu bersuara.
Syakirah bergegas mencari ayahnya. Bukan apa, sementara semangat masih membara ni, biar dihabiskan kerja mengemasnya itu. Kalau dah malas nanti, alamatnya tak bergeraklah buku-buku itu.
Ayah yang sedang leka mencantas pokok-pokok kesayangannya disapa, “Ayah, Kira tengok kan, almari buku dalam rumah tu dah bergoyang la ayah. Macam dah nak runtuh, banyak sangat buku dalam tu. Bila ayah nak beli almari baru? Kalau almari pasang siap pun best jugak ayah.” Ayah menoleh, mencerlung pada anak perempuannya itu.
“Kamu ni, kalau ye pun, janganlah melebih-lebih sangat. Takdenye nak runtuh almari tu,” ayah kembali fokus pada pokok bunganya. Syakirah menarik muncung, “Ayah ni sama je dengan ibu. Kira cakap betul lah, buku-buku tu semua bukan ringan, boleh berlubang lantai almari tu dibuatnya. Ayah, belilah almari baru. Kita buat mini perpustakaan. Ensiklopedia ayah yang berjilid-jilid tu pun boleh letak dekat situ nanti, takde lah berterabur sana-sini.”
Dia mengumpan. Bukan dia tidak tahu, ayahnya itu sayang benar dengan ensiklopedia yang menurutnya dibeli dengan gaji pertamanya. Minat membaca ayah diperturunkan kepada anak-anaknya, itulah sebabnya buku-buku di rumah mereka begitu banyak, sampaikan bagai tidak cukup ruang untuk menyimpannya. Ayah kelihatannya menimbang-nimbang ideanya. Syakirah tersenyum kecil. Ikan dah makan umpan! “Hem, tengoklah hujung bulan ni macam mana,” ayah akhirnya bersuara. Syakirah melompat, “Yess!”
***
Cuaca panas hari ini bagai turut sama membakar hatinya. Telefon bimbit di genggaman dipandangnya lama. Kalau boleh dihempas telefon itu, sudah lama dibuatnya bagi melampiaskan rasa geram namun disabarkan hatinya. Teringatkan pesanan seorang sahabat lewat satu usrah yang dihadirinya beberapa bulan lalu membuatkan dia terfikir sendiri.
“Perasaan marah ni ada banyak sebabnya. Mungkin sebab perasaan negatif; kecewa,sakit hati, mungkin sebab tekanan daripada persekitaran, mungkin juga sebab memendam perasaan yang akhirnya melarat. Ada sesiapa yang di sini suka kalau dia dalam keadaan marah? Takde kan? Kecualilah kalau itu memang suka menunjuk-nunjuk, nak kasi orang takut pada dia, kecut perut kalau tengok dia, tunduk pada dia. Hah, itu memang perangai syaitan!
Kalau kita marah, ada orang tak yang nak dekat dengan kita, senyum pada kita? Hush, susah! Orang tengok muka kita pun nak tak nak. Mana taknya, muka orang yang marah kan buruk? Masam memanjang.” Dia memandang sekeliling. Masamkah mukanya? Ada tak orang yang nak senyum pada aku?
“Cuba tengok orang yang tenang, manis je. Tak senyum pun takpe. Nampak damai. Jadi untuk nak jadi orang yang tenang, manis, orang lain pun suka dekat dengan kita, apa caranya? Jangan marah. Nabi pun pernah berpesan pada sahabat bila diminta memberikan nasihat, la taghdab kata Nabi. Jangan kamu marah, itu pesan Nabi. Kenapa? Kerana marah itu buruk akibatnya. Kita sendiri boleh nampak akibat marah. Keluarga boleh berpecah-belah, kawan boleh tinggalkan kawan, macam-macam lagi.” Astaghfirullah, bahananya marah. Hati, tenanglah. Singkirkan rasa marah itu.
“ Apa ubat marah ni? Dah tau marah ni buruk, tak best, kenelah kita mengelak daripada marah kan? Tips pertama, mengingati Allah. Banyakkan berzikir. Ala bidhikrillah tatmainnal qulub.
Kedua, mohon perlindungan Allah daripada syaitan, kerana marah ni merupakan godaan syaitan. Syaitan memang suka orang yang marah. Ta`awwudh, berdoa pada Allah minta dijauhkan daripada godaan syaitan la`natullah.
Ketiga, jika kita marah berpunca daripada perbuatan atau perkataan seseorang, maafkanlah dia. Allah berfirman dalam Asy-syura ayat 37, maksudnya, Dan juga (lebih baik dan lebih kekal bagi) orang-orang yang menjauhi dosa-dosa besar serta perbuatan-perbuatan yang keji; dan apabila mereka marah (disebabkan perbuatan yang tidak patut terhadap mereka), mereka memaafkannya. Allah menganjurkan kita memaafkan kesalahan orang lain kepada kita kerana marah yang disimpan dalam hati itu lama kelamaan akan merebak, membusukkan hati. Ingat lagi tak kisah pisang busuk yang saya pernah ceritakan dulu? Itulah perumpamaannya.
Tips keempat, seperti saranan Nabi Muhammad, berwudhu’ dan mengubah posisi atau kedudukan kita.
Kelima, menanam sifat sabar. Sabar adalah sifat yang paling sukar untuk kita tanam dan kekalkan dalam diri kita, tapi sekali kita berjaya mengaplikasikan sabar dalam menghadapi kemarahan, insyaAllah dalam apa jua tindakan kita selepas itu, kita akan dapat bersikap tenang.
Kerana apa? Kerana orang yang sabar itu tinggi martabatnya, dan Allah sayangkan orang-orang yang bersabar. Kalau tidak masakan Nabi bersabda, sabar itu separuh daripada iman?” Apa gunanya marah-marah sedangkan marah itu membawa ke arah keburukan dan kesedihan? Bukankah lebih baik bersabar dan menenangkan hati?
Dia tersenyum sendiri. Boleh pulak aku ingat satu-satu isi usrah tu. Genius katakan! Dicubanya sekali lagi menghantar mesej kepada Nurin. Failed. Ehm, apa masalahnya ye? Dia menekan-nekan butang di telefon bimbitnya, mencuba nasib. Baki 013……. RM 0.00. Alamak, malunya!
Dia bergegas ke kedai telefon bimbit, membeli kad tambah nilai untuk telefonnya. “Izwan!” satu suara melaungnya dari luar kedai. Dia berpaling. Izwan tergamam. Dia?! “Hai Iz! Lama tak jumpa awak,” Basyirah tersenyum manis. Kakinya pantas mendapatkan Izwan di dalam kedai.
Izwan membisu. “Jom makan sama,” gadis itu mempelawa. Izwan membayar harga kad tambah nilai sebelum melangkah keluar kedai. Terkejar-kejar Basyirah cuba menyaingi langkah lelaki itu. “Awak ni, kenapa laju sangat? Sabarlah, boleh tercabut kasut saya ni tau!” marah Basyirah. Izwan buat endah tak endah.
Kunci motorsikal dalam kocek dikeluarkan.
Dari centre melewati bangunan pentadbiran hingga hampir ke tempat letak motorsikal, Basyirah masih mengekori Izwan. Merah padam mukanya berpanas. Izwan berpaling. Diketap giginya. Geram dengan perlakuan gadis itu. “Ada apa awak ikut-ikut saya ni?” melengking kedengaran suaranya. Basyirah mencebikkan bibir. Dalam hatinya menyumpah, dah kau buat derk!
“Saya tegur awak, sepatah haram awak tak jawab. Saya ajak awak makan, awak menonong je pergi. Kenapa dengan awak ni?” Basyirah melembutkan suara. Berharap lelaki itu akan sejuk. Izwan mendengus. “Saya malas nak layan awak.” Topi keledar disarung. Enjin motorsikal dihidupkan. Terkebil-kebil Basyirah ditinggalkan.
No comments:
Post a Comment