Nurin menyusun aturcara majlis jamuan akhir tahun kelasnya yang akan berlangsung sebulan lagi. Kali ini mereka akan meraikannya di salah sebuah restoran yang terkenal di bandar mereka. Dia yang bertindak sebagai salah seorang programme coordinator bersama-sama Lina dan Arif mahu menyelesaikan perkara-perkara penting berkaitan majlis tersebut sebelum peperiksaan akhir tahun mereka bermula.
Dia tidak mahu tumpuannya terganggu di saat-saat menghadapi kertas peperiksaan nanti. Itulah juga sebabnya dia menyiapkan hadiah untuk majlis itu awal-awal lagi.
Nurin mengetuk-ngetuk pennya di meja. Aturcara majlis jamuan akhir tahun di tangannya terasa masih tidak lengkap namun dia tidak pasti apa yang masih belum tercatat di helaian itu. Dia memandang sekeliling. Matanya menangkap kelibat Kamil yang sedang berjalan ke arah kedai koperasi . Lantas mindanya teringatkan sesuatu. “Kamil,” Nurin menggamit Kamil.
Kamil memaku pandangannya pada wajah Nurin yang berdiri di hadapannya. Menunggu mulut gadis itu terbuka, bercakap dengannya. Nurin gelisah. Jantungnya dirasakan berdegup laju. Lidahnya tiba-tiba bagaikan kelu untuk berkata-kata. Kamil dipandangnya sekilas. Lelaki itu sedang berpeluk tubuh.
“Kamil,” Nurin memulakan bicara. Hatinya tidak putus-putus berdoa agar diberikan kekuatan untuk berhadapan dengan lelaki itu lagi selepas ini. “Aku dah tengok cd yang kau berikan pada aku. Aku faham dengan apa yang kau sampaikan. Dan jawapan aku Kamil...aku tak boleh,” Nurin mengangkat mukanya. Ingin menatap reaksi daripada wajah itu. Kamil tersentak. Terasa bagaikan kepalanya diketuk kuat. Aduh, sakitnya.
“Aku dah ada seseorang yang istimewa dalam hidup aku dan aku berharap dia akan bersama aku dunia dan akhirat. Aku doakan kau jumpa seseorang yang lebih layak dan sesuai untuk kau. Aku minta maaf Kamil,” Nurin bangun dan melangkah pergi, meninggalkan Kamil bersama hati yang retak.
Nurin memetik jarinya di hadapan Kamil. Lelaki itu bagaikan tersedar daripada lamunannya. Nurin kaget tadi apabila Kamil tiba di hadapannya dan memandangnya kosong. Lelaki itu tidak berkata apa-apa malah tidak bereaksi apabila Nurin memanggil namanya beberapa kali.
“Huh, maafkan aku,” Kamil menundukkan wajah. Meliar rasa malu di hatinya. Tidak disangkanya kejadian sebulan lalu kembali singgah di ingatannya. “Takpe. Lain kali jangan berkhayal lagi tau,” Nurin tersenyum, “aku nak tahu siapa yang akan buat persembahan masa jamuan akhir tahun kita nanti dan sinopsis persembahan tu. Untuk kegunaan pengacara majlis.”
Kamil mengangguk. Tangannya menyelongkar beg sandang Adidasnya. Sehelai kertas dihulurkan kepada Nurin. Selesai meneliti kertas itu, Nurin mengangkat muka, ingin berterima kasih kepada Kamil. Dia terpana apabila sebuah beg kertas disuakan kepadanya.
***
Novel ‘A.D.A.M’ yang sedang dibacanya diletakkan di atas meja. Dia tidak dapat menumpukan perhatian pada pembacaannya. Beg kertas pemberian Kamil dua minggu yang lalu belum lagi dijengah isinya. Hatinya meronta-ronta ingin tahu apa yang dikirim sahabatnya itu. Bukannya dia tidak mahu mengetahui isi beg kertas itu selepas menerimanya, tetapi dia tidak mahu apa-apa pun yang akan mengocak hatinya tambahan pula tika itu, hanya tinggal dua hari sebelum mereka menduduki peperiksaan terpenting mereka di tingkatan empat. Nurin mencapai beg kertas berona ungu yang terletak elok di atas meja soleknya itu. Pita pelekat yang memaut kemas kedua-dua bibir beg itu dikoyaknya. Dia menarik keluar sesuatu daripada beg sederhana besar itu.
“Naj, cuba kau baca kisah ni,” Nurin menghulurkan buku berwarna merah samar kepada Najwa. Najwa menyambutnya dengan dahi berkerut. Dia membelek-belek buku itu. Wajahnya menggambarkan kehairanan. Nurin tersenyum kecil, bagai memahami apa yang berlegar-legar di kepala sahabatnya itu.
“Tersentuhnya aku, Nurin. Memang betul la, setiap yang kita sangkakan buruk itu tak semestinya buruk untuk kita dan setiap yang kita sangkakan baik itu tak semestinya elok untuk kita. Macam raja ni,dia sangka kehilangan jari dia tu satu perkara yang buruk tapi bila dia tak dijadikan korban kepada tuhan oleh orang asli tu sebab dia cacat, bukankah itu perkara yang baik untuk dia,” Najwa tersenyum memandang Nurin.
“Baik atau buruk, payah untuk disebut,” Nurin mengajuk kata-kata cerdik pandai kesayangan raja dalam kisah raja tanpa jari itu. Dia dan Najwa berpandangan. Hati masing-masing berdetik.
Nurin membelek-belek buku di tangannya. Apa maksud kau berikan aku buku ni, Kamil? Kau sudah tahukah kisah aku dan Helmi? Adakah kau masih menyimpan perasaan pada aku? Dan dia tertidur bersama-sama buku pemberian Kamil.
***
Lagu dendangan penyanyi Nora menusuk pendengarannya. Dia terpaku. Lirik lagu itu begitu menyentuh hati. Selajur dia terkenangkan Helmi, lelaki yang telah menghancurkan sekeping hati gadisnya.
Sebelumnya kau pergi
Renunglah ku di sini
Kerna mungkin terjadi
Kita takkan bersua lagi
Anggaplah pertemuan ini
Mungkin yang terakhir
Dan tak usah kita kesali
Atas apa yang terjadi
Banyaknya pengorbanan
Telah kupertaruhkan
Mungkin tiada bermakna
Telah banyak mengguris rasa
Untuk itu maafkanku
Kiranya mengganggu ketenangan
Dalam hidupmu yang tak perlu kehadiranku
Dugaan
Inikah dugaan untukku
Hujungnya tak seindah mimpi
Hanyalah igauan ngeri
Kau yang pernah kurindu
Mudahnya berlalu
Mengapa begitu berubah laku
Aku menerima salam perpisahan
Segalanya sebagai ingatan
Biarlah impianku kan berlalu denganmu
Kusangka berpanjangan panas hingga ke petang
Tiba mendung menjelma
Tak seperti yang kuharapkan
Kini mengertilah aku
Tak perlu menunggu
Biarkanlah kau dan caramu
Aku dengan cara hidupku
“Naj, aku bingung,” Nurin memegang tangan rakannya itu. Najwa menoleh. Muka Nurin kelihatannya kusut, bagai menanggung masalah yang berat. “Aku rasa aku masih sayangkan Helmi, tapi aku sakit hati betul dengan dia. Sanggup dia buat aku macam ni. Ada orang lain dalam diam, siap boleh perkenalkan pada family dia lagi. Habis aku ni siapa pada dia selama ni, biskut kering? Makan bila takde benda lain nak kunyah?” Nurin mengetap gigi. Meluahkan kegeramannya pada seorang lelaki bernama Helmi.
Najwa membeliakkan mata. Biskut kering? Tak pernah pula dia mendengar analogi seperti itu. Dia tersenyum kecil, “Apa yang kau nak runsingkan. Ikut kata hati kecil kau. Aku rasa perasaan sayang tu sebenarnya apa yang kau dah simpan dalam otak kau selama ni, sebab kau nak jadikan diri kau pencinta setia. Apa yang dah berlaku ni, ada hikmahnya. Kau tunggu ajelah. Baik atau buruk, payah untuk disebut, kan? Apa makna Kamil bagi kau buku tu, ye?”
***
Kamil memegang kad itu erat. Sudah berpuluh-puluh kali rasanya dia mengulang baca kata-kata yang tercoret pada kad itu. Kad tulisan tangan Nurin.
“Tahniah Kamil, kau dapat hadiah daripada Nurin! Hai, macam berpakat pulak, kau dapat hadiah dia, dia dapat hadiah kau,” Salman mengerling Nurin dan Kamil. Kamil menyambut hadiah tersebut dengan senyum kelat. Sungguh tidak disangkanya, tahun ini dia akan menerima hadiah daripada gadis idamannya. Nurin di tempat duduknya tunduk memandang lantai.
Esok peperiksaan terpenting bagi semua pelajar yang bakal meninggalkan alam persekolahan akan bermula. Dia berdoa agar dirinya dan rakan-rakannya dapat menghadapi semua kertas peperiksaan mereka dengan tenang dan bersedia. Kad di tangannya diletakkan di sebelah slip peperiksaannya. Dia mahu jadikan kata-kata dalam kad itu penguat semangat untuknya terus menjalani hidupnya dengan tabah dan yang paling penting, bahagia.
No comments:
Post a Comment