Kamil menghulurkan sekeping sampul surat kepada Nurin. Nurin hanya memerhatikan tanpa menyambutnya. Kamil meletakkan sampul surat itu di atas meja Nurin. Nurin memandang Kamil tanpa kata. Keningnya diangkat, tanda ingin mengetahui maksud di sebalik pemberian lelaki berkulit cerah itu. “Balik nanti, bukalah,” Kamil meninggalkan Nurin dengan seribu tanda tanya.
“Assalamua’laikum Nurin. Ada sesuatu yang aku nak bagitahu kau. Pertama sekali, aku nak minta maaf kerana selama ni, daripada kita Tingkatan Satu sampailah kita Tingkatan Tiga, aku selalu kenakan kau, mengata kau, macam-macam lagilah. Aku harap kau dah tak ambil hati, yelah, masa tu kan kita tak berapa matang lagi. Lagi-lagi aku ni,nakal mengalahkan budak Tahun Enam je.
Kedua...aku tahu mesti kau perasan kan, perubahan aku sekarang?Aku dah tak galak mengusik dan menyakat kau. Aku dah aktif bersukan dan aku dah naik basikal pergi sekolah. Kau tahu tak kenapa aku buat semua tu? Sebab...aku sukakan kau. Aku buat semua tu sebab aku nak jadi lebih rapat dengan kau. Kalau aku masuk team bola sepak sekolah, dapatlah aku tengok kau berlatih main bola jaring tiap-tiap petang. Kalau aku naik basikal pergi sekolah,tak naik kereta macam selalu, dapatlah aku bertembung dengan kau. Huh, macam budak-budak pulak rasanya.
Aku harap apa yang aku cakap ni, kau dapat terima dengan hati terbuka. Aku takut juga nak cakap dengan kau hal yang sebenar, yelah, aku takut kalau-kalau kau bencikan aku setelah apa yang aku buat pada kau selama ni. Aku... aku nak jadi kawan istimewa kau, lebih daripada kawan biasa. Boleh tak? I love you,” dan lagu ‘One In A Million’ dendangan Bosson berkumandang.
Gambar-gambar Nurin muncul. Gambar-gambar dia ketika menyertai acara lumba lari di Hari Sukan Sekolah, gambar-gambar dia yang disakat Kamil ketika jamuan akhir tahun kelas setiap tahun, gambar-gambar dia dan Najwa ketika menyertai sayembara puisi anjuran Persatuan Sastera sekolah tahun lepas, dan yang paling mengejutkannya, gambar-gambar candidnya yang dirakamkan ketika dia sedang menjalani latihan bola jaring, ketika dia sedang mentelaah pelajaran di pusat sumber sekolah dan ketika dia dan Najwa menghabiskan masa di taman mini sekolah sementara menunggu waktu kelas tambahan mereka bermula. Bila Kamil melakukan semua itu? Dia tidak sedar!
Najwa terlopong mendengar kisah Nurin. Tidak disangkanya Kamil sekreatif itu. Merakamkan diri sendiri meluahkan perasaan cinta kepada seorang sahabat yang sejak zaman-berzaman tidak puas-puas diusik dan diejek. Menujukan lagu cinta kepada sahabat yang diminati dalam diam. Menyimpan gambar-gambar insan yang disayangi tanpa pengetahuan insan bertuah itu. Fuhh, kalaulah ada lelaki yang buat begini pada aku! Najwa berbisik sendirian. Dia mula membayangkan jika dia yang berada di tempat Nurin. Alangkah bahagianya hidup.
“Apa yang aku nak buat ni, Naj?” angan-angan Najwa mati dengan pertanyaan Nurin. Dia mengerling rakannya di sisi. Fikirannya mula ligat memikirkan penyelesaian bagi masalah Nurin itu. “Kau sayangkan dia?” Najwa bertanya Nurin kembali. Nurin memandang wajah Najwa tajam. Soalan Najwa itu kedengaran sinis di pendengarannya.
“Aku nak tahu perasaan kau pada dia. Sekarang jangan fikirkan pasal orang lain buat sementara waktu, cuma kau dan dia. Apa yang kau rasa pada Kamil? Suka? Benci? Sayang?” Najwa cuba menebak perasaan seorang sahabat sambil menyingkirkan prasangka yang mula meliar dalam diri sahabatnya itu. Dia tidak mahu ada apa-apa unsur yang boleh mencemarkan persahabatan mereka yang terjalin sekian lama, terutamanya salah faham.
Nurin mengeluh. Dia sendiri masih cuba mencari-cari perkataan yang sesuai untuk meluahkan perasaannya. “Entahlah Naj. Kau tahu saja lah, dulu kan dia selalu menyakat aku, mengacau aku...masa itu, aku memang menyampah betul pada dia. Satu-satunya orang yang buat hidup aku tak tenteram setiap hari. Tapi, sekarang ni, bila dia dah berubah, perangai pun makin elok, aku suka pula tengok dia. Dia bukannya jahat sangat sebenarnya, nakalnya yang lebih,” Nurin bermain-main dengan hujung bajunya. Lagak orang sedang dilamun cinta pula! Najwa mengomel sendirian. “Maksudnya?” Najwa meminta kepastian. Dia tidak mahu tersalah tafsir pula. Biarlah tuan empunya diri yang berterus-terang.
“Aku sukakan dia dan aku sayangkan dia...sebagai seorang kawan,”Nurin menoktahkan kata-katanya. Menghela nafas panjang. Pengakuan itu bagai memaksanya mengerahkan seluruh tenaganya, menggunakan segala kudrat yang bersisa dalam diri.
“Kau ni hebatlah Nurin. Aku belum jumpa lagi orang setia macam kau,” Najwa menepuk-nepuk bahu Nurin. Menzahirkan kekaguman dan kebanggannya dengan sahabatnya yang seorang itu. “He’s my first love. And I hope, he will be my last too,” Nurin mengukir senyum. Terbayang wajah Helmi di ruangan matanya. “Kalau macam tu, berterus-teranglah pada Kamil,” Najwa bersuara.
No comments:
Post a Comment