Sekadar berkongsi rasa jiwa...

Saturday, May 15, 2010

Dalam Diam 6

Kamil mengikat tali kasutnya ketat-ketat. Dia tidak mahu terjatuh kerana tersangkut pada tali kasutnya sendiri lagi. Malu juga rasanya, besar-besar begini pun jatuh lagi. Dia berlari-lari anak menuju ke Male Sports Complex yang terletak tidak jauh dari mahallahnya. Pasukan bola sepak yang disertainya telah menunggunya untuk latihan mereka menghadapi pasukan-pasukan lawan minggu hadapan.

“Priit,” wisel penamat dibunyikan pengadil. Pemain kedua-dua pasukan saling bersalam-salaman, meminta maaf sekiranya ada antara tindakan mereka yang mengguris hati atau mencedarakan fizikal pihak lawan. Kamil melangkah keluar padang dengan senyuman lebar.
Manakan tidak, dia berjaya menyumbat dua gol sekaligus membantu pasukannya menang ke atas pasukan lawan dalam perlawanan persahabatan mereka hari ini. Kawan-kawan sepasukannnya menepuk bahunya. Mereka saling mengucapkan tahniah atas persembahan baik mereka hari ini.

Fadhli merapati Kamil yang sedang meneguk air mineral. “Bagus betul kau main hari ni, Kamil. Abang nak dalam perlawanan-perlawanan kita yang seterusnya, kau main sungguh-sungguh macam hari ini juga. Jaga stamina, jangan minum minuman berais dan berkafein, ok. Kalau boleh banyakkan minum air kosong. Esok, latihan macam biasa,” Fadhli mengingatkan Kamil, ayam tambatan pasukan bimbingannya. Kamil mengangguk-angguk.

Rasa hormatnya pada seniornya yang hanya setahun tua daripadanya itu tidak pernah luntur. Malah dia kagum kerana pelajar jurusan undang-undang itu mampu membimbing dan melatih pasukannya dengan penuh semangat dan dedikasi sungguhpun dia faham, Fadhli sangat sibuk dengan kuliah dan aktiviti persatuannya yang lain.

***

“019, counter two,” Kamil memandang skrin yang memaparkan nombor-nombor itu. Tinggal dua nombor lagi sebelum gilirannya tiba. Dia memandang gadis yang berada di kaunter nombor dua. Sekilas pandang, gadis berbaju kurung biru itu kelihatannya seperti seorang rakannya yang sudah lama tidak didengar khabar beritanya. Kamil membelek-belek tiket di tangannya.
“021, counter three,” nombornya kedengaran dipanggil. Kamil bangun. Gadis di kaunter dua menoleh. Masing-masing terpaku.

“Kau nampak lain, Nurin. Makin cantik,” Kamil menatap wajah Nurin lama. Dia tidak sangka akan bertemu sahabat lamanya itu di taman ilmu dan budi ini. Nurin tersipu-sipu. “Kau ni, janganlah berterus-terang sangat. Malu aku. Atau kau cakap benda yang terbalik,hah?” Nurin memandang Kamil yang duduk di hadapannya.
Sahabatnya itu nampak banyak berubah. Sudah mula menyimpan janggut namun tetap nampak kacak, malah mungkin boleh dikatakan bertambah kacak!

“Dah tiga tahun Nurin, dah lama sangat kita tak berjumpa. Kau lah, hilang macam tu je. Friendster kau delete, nombor telefon kau tukar, huh, pelik aku. Nak jumpa kau kat bandar, lagilah, simpang malaikat 44.What was wrong, girl?” Kamil mengeluh.

Sudah lama dia mencari Nurin, tetapi rakan-rakannya seolah-olah menyorokkan kelibat gadis itu daripadanya, atau itu semua sudah tertulis di atas sana, pertemuan yang tidak terduga? “Nothing, just for fun,” Nurin tergelak. Berniat mengusik sahabatnya itu. Kamil menjuihkan bibir, tanda tidak terkesan dengan gurauan itu.

Nurin tersenyum kecil. Memang dia berniat melarikan diri daripada lelaki itu tetapi setiap perkembangan lelaki itu, dia tahu. “Aku tahu kau masuk matrikulasi dulu, sengaja aku menyorok daripada kau. Tapi aku tetap ingat kawan tau,” Nurin menundukkan wajah. Ada sesuatu yang bergelojak di hatinya tetapi cuba disorokkan. Kamil ternganga.

“Hei, korang ni, macam aku tak wujud je kat sini,” Najwa mengeraskan suara. Kamil dan Nurin memandang Najwa serentak. Najwa tersengih,” Yelah, korang bersembang berdua, meluahkan perasaan lah, aku ni dah macam tunggul kayu je.” Kamil tergelak besar.

Nurin menepuk-nepuk bahu sahabat baiknya itu,” Sorry kawan. Kamil ni hah, dah macam private investigator pulak. Tanya aku macam-macam. Aku ni kan cepat gelabah. Tu yang lupa kau kat tepi ni.” Najwa memandang Kamil. “Kamil, apa lagi. Belanjalah kitorang. Dah lama kitorang teringin nak merasa duit JPA kau, tau!” Najwa menadah tangannya di hadapan Kamil.

Sekali lagi Kamil ternganga. “Macam mana kau tau aku dapat JPA?” Kamil memandang Najwa, kemudian Nurin. “Kitorang pun ada P.I jugak!” Najwa menyiku Nurin. Nurin hanya tersengih menayangkan giginya yang tersusun rapi.

***

“Tahniah Kamil!” suara perempuan mengejutkan Kamil. Dia berpaling, mencari pemilik suara itu. Nurin! Apa yang dilakukan gadis itu di sini. Namun sebaik terpandangkan pakaian sahabatnya itu, Kamil tersenyum. “Aku tak perasan pun kau masa kau kawad formasi tadi, Nurin. Tahniah juga, pasukan kau dapat nombor dua, kan?” Kamil bertanya.
Matanya tidak lepas memerhatikan Nurin yang nampak comel dalam kostum pari-pari berwarna putih dan perak, membawa tema mahallahnya tahun ini. “Terima kasih.

Anyway,kau memang layak pun dapat anugerah Best Player tahun ni. 12 gol. Gosh! Aku tak sangka kawan aku sehebat ni. Boleh gantikan Kaka ni,” Nurin mengusik Kamil. Kamil hanya tersengih lebar. Trofi di tangannya diusap perlahan. Terima kasih pada kau Nurin, hatinya berbisik.

***

Suasana kelas yang agak bising mengganggu konsentrasi Kamil untuk menghabiskan bacaannya. Dia mengerling arloji hitam pemberian ayahnya. Sudah sepuluh minit berlalu dan Dr. Majdan masih belum menampakkan muka. Dia berkira-kira, jika dalam masa lima minit lagi pensyarah itu tidak muncul, dia akan menapak ke perpustakaan universiti. Dia mahu menelaah sebelum menduduki kuiz pentingnya petang nanti. Dia perlu mengejar dan mendapatkan sepuluh markah yang berharga.

Kamil menggeliat di hadapan pintu keluar perpustakaan sejurus dia melangkah keluar dari kutub khanah itu. Dia mahu mengendurkan kembali urat-urat dan sendinya yang dirasakan tegang setelah sejam dia bertapa di tempat yang maha sejuk baginya itu. Silapnya juga kerana tidak membawa jumper kelabunya hari ini.

Matanya tiba-tiba menangkap wajah Nurin yang sedang tersengih memerhatikannya. Gadis itu sedang santai duduk di kerusi kayu yang tersedia di tepi tangga menuju ke perpustakaan universiti itu. Dia melangkah merapati Nurin yang kasual berseluar panjang dan memakai blouse labuh berwarna ungu lembut. Menyerlahkan kecantikan gadis itu.

“Kenapa kau tersengih ni tengok aku?” Kamil berdiri di sebelah kerusi itu.Nurin masih tersengih, dengan penuh yakin pula. Kamil memandang sahabatnya itu geram. “Kau menggeliat tadi, macam nikmat sangat. Itu yang aku tak dapat nak tahan sengih ni. Macam ditarik-tarik je mulut aku ni,” Nurin memandang Kamil penuh minat.

Kamil menepuk dahi. Malu dirinya diperhatikan. Tidak disangka aksinya tadi menjadi perhatian gadis itu. “Kau ni duduk di depan library ni kerjanya tengok orang keluar masuk lah?” Kamil pura-pura marah.

“Aku tunggu Naj la. Dia pergi pinjam buku sekejap,” Nurin membalas, mempertahankan diri. Ingat aku takde kerjakah nak tengok orang keluar masuk di sini? Lebih baik balik, buat tahi mata. Ada juga faedahnya. “Kau tunggu Naj? Baguslah, lepas ni, kita pergi makan sama-sama, nak?” Kamil bersuara ceria. Matanya kelihatan bercahaya.

Nurin mencongak-congak. Sekarang sudah jam 12.30 tengah hari, kelasnya dan Najwa hanya akan bermula jam dua petang nanti. Layan sajalah si Kamil ni! “Ok, kita tunggu Naj,” dia akhirnya menyatakan persetujuan.

“Wish me luck, girls
. Aku ada kuiz petang ni,” Kamil bersuara sambil menghirup jus jambu batu. “Kuiz apa?” Najwa bertanya. Tangannya sibuk menggaul nasi dengan kuah asam pedas. “Islamic Ethics. Risau aku, ini kuiz terakhir sebelum final exam, maknanya ini peluang terakhir aku nak dapatkan carry mark yang bagus,” Kamil menerangkan.

Matanya dihalakan ke arah Nurin yang sedang menguis-nguis isi ikan kerisinya. Kemudian gadis itu meletakkannya bersama-sama kangkung masak belacan dan nasi,lantas menyuapnya ke mulut sendiri. Gaya makan gadis itu yang bersopan, dengan tidak mengunyah sambil membuka mulut disukainya. Dia memang tidak suka orang yang makan berbunyi.

“Nurin, semua assignments kita dah hantar kan?” Najwa menyoal Nurin, rakan sekelasnya daripada dahulu hingga kini. Tidak pernah berenggang. “Yup, all have been submitted. But remember, we still have couple of quizzes to go,” Nurin mengingatkan Najwa tentang beberapa kuiz yang masih tinggal bagi empat subjek teras mereka semester ini. Najwa mengangguk-anggukkan kepalanya. Semangat belajarnya tiba-tiba naik, teringatkan keputusan semester lepasnya yang kurang memuaskan. Dia berazam mahu memperbaikinya semester ini.

Azan Zohor berkumandang dari masjid universiti. Kamil, Nurin dan Najwa cepat-cepat menghabiskan nasi yang masih bersisa di pinggan. “Jumpa lagi, Nurin, Naj,” Kamil mengangkat tangan di tangga yang memisahkan mereka. “Good luck, friend! Do your best. We’ll pray for you,” Nurin melambaikan tangannya. Najwa di sisi turut sama melambai. Kamil tersenyum. Hatinya berdetik. Kawan sahajakah?

No comments: