Acara bertukar-tukar hadiah telah bermula.Semua pelajar 4 Alpha berdebar-debar menantikan giliran masing-masing. Kotak berisi kertas-kertas cabutan hadiah tiba di pangkuan Nurin. Nurin menyelukkan tangannya, mencapai salah satu kertas yang bergulung di dalam kotak itu kemudian menghulurkannya kepada Rafidah yang bertindak sebagai pengacara majlis hari itu bersama-sama Salman.
“Bintang,” Rafidah bersuara lantang, mengumumkan simbol yang menandakan hadiah mana yang bakal diterima Nurin. Salman mencari-cari kotak hadiah yang dilekatkan dengan kad manila kecil bercoretkan gambar bintang di atas meja. “Cuba teka daripada siapa? Hadiah ini daripada...Kamil!” Salman menghulurkan kotak bersaiz sederhana besar itu kepada Nurin. Nurin terpaku, memandang Kamil yang duduk tidak jauh daripadanya. Kamil turut memandangnya. Masing-masing terkedu.
***
Sudah hampir sejam Nurin melilau di dalam mall itu. Sudah merata kedai dijejakinya namun yang dicari-carinya belum ketemu juga. Dia naik bingung memikirkan hadiah apa yang ingin dibelinya untuk acara bertukar-tukar hadiah di majlis jamuan akhir tahun kelasnya nanti.
Setelah memikir-mikir, Nurin memutuskan untuk membuat sendiri kad ucapan hasil tangannya dan juga kotak simpanan yang akan dihiasnya mengikut kreativitinya sendiri. Bosan juga jika setiap tahun memberi barangan yang ready-made. Dia menapak ke kedai menjual barang-barang d.i.y atau do-it-yourself. Ayahnya juga selalu ke sini jika ada projek baru yang ingin disiapkannya. Ayahnya rajin melukis dan bertukang, dan sedikit sebanyak bakat itu diwarisinya.
Sedang sibuk membelek-belek perhiasan-perhiasan kecil yang sesuai untuk kotaknya, Nurin terasa bahunya ditepuk dari arah belakang. Dia berpaling. Seorang gadis yang manis berbaju kurung tersenyum kepadanya. “Hayati,”dia menjerit kecil dan memeluk gadis itu. Hayati membalas pelukannya. Erat. Sudah lama mereka berdua tidak bersua muka, hanya sesekali berbalas-balas mesej di telefon bimbit. Nurin menarik Hayati ke luar kedai. Mereka melabuhkan punggung di kerusi kayu tidak jauh daripada kedai itu.
“Itu kawan Along,kak Nurin,” Hayati menundukkan muka. Tidak sanggup menatap wajah Nurin tatkala menyatakan kebenaran itu. Nurin mengerutkan dahi. Tidak faham dengan istilah yang disebutkan Hayati sebentar tadi. Kawan? Bagaimana Helmi boleh memberikan telefon bimbitnya kepada seorang kawan perempuan untuk dijaga? Sudah tidak adakah kawan lelakinya yang boleh dipercayai? Sungguh dia terkejut apabila suara seorang perempuan menyapa cuping telinganya saat dia menghubungi Helmi beberapa minggu lalu tetapi dia tidak mengesyaki apa-apa. Tanggapannya mungkin salah seorang saudara Helmi yang menjawab panggilan itu.
“Diorang dah lama kenal, kak Nurin. Dalam lima, enam bulan. Along dah kenalkan pada kami masa kami melawat along bulan lepas. Kebetulan kami balik kampung di Sabak Bernam, singgah di kampus Along sekejap. Dia tengah periksa sekarang ni, kak,” Hayati menerangkan letak duduk perkara sebenar kepada Nurin. Dia sayangkan Nurin tapi apakan daya, itulah pilihan abangnya. Nurin terhenyak di tempat duduk. Terasa setiap patah kata yang terluncur daripada bibir Hayati bagai angin ribut yang menghentam jasadnya. Tidak nampak kesannya pada tubuh tapi hatinya sudah hancur luluh. “Sampai hati Helmi,” Nurin bersuara perlahan.
Miniatur rama-rama berwarna oren dilekatkan pada sebelah kiri kotak. Daun-daun hijau dan bunga-bungaan pula disusun elok pada penutup kotak berbentuk kumbang itu. Nurin puas melihat hasil kerjanya. Boleh tahan juga aku ni! Terselit sedikit perasaan bangga dengan kejayaannya menyiapkan kotak simpanan itu. Kotak berwarna merah hitam persis ladybird itu diletakkannya di atas meja belajarnya. Esok akan dimasukkan ke dalam kotak dan dibalutnya. Dia sudah penat.
Nurin memandang kotak simpanan itu lama sebelum memasukkannya ke dalam kotak hadiah. Kertas pembalut warna perak bercorak hati dicapainya. Mula menggunting mengikut ukuran kotak dan membalutnya. Dia berharap sesiapa pun yang mendapat hadiahnya ini akan berasa senang dan gembira menerimanya. Dia bersungguh-sungguh menghias kotak itu untuk mengusir perasaan sedih dan kecewa daripada bertandang di hatinya. Dia tekun mencoret kata-kata puitis bermotivasi pada kad ucapannya agar dia dapat melupakan luka yang telah diguris Helmi di hatinya. Dia mahu melupakan lelaki itu. Yang dulu memberikan harapan tetapi kemudian meninggalkannya begitu sahaja.
***
Najwa menghulurkan tisu kepada Nurin. Dia tidak sangka Nurin akan menangis di hadapannya hari itu. Nurin yang dikenalinya selama ini amat payah mengalirkan air mata. Hanya sesekali apabila dia tersentuh membaca karya-karya romantis ataupun sedih, barulah Najwa dapat melihat sudut sensitif sahabatnya itu. Tetapi hari ini, Nurin yang terkenal kuat dan tegas orangnya, mengalirkan air mata kerana seorang lelaki.
“Kalau ya pun dia dah tak mahukan aku lagi, bagitahulah. Jangan biarkan aku perasan sendiri, menaruh harapan pada dia lagi. Payah sangatkah nak cakap yang dia dah jumpa orang lain. Aku bukannya harimau, nak terkam dia,” Nurin mengesat air matanya yang jatuh ke pipi. Najwa tersengih. Kau memang bukan harimau, tapi perangai kau tu sikit-sikit macam harimau!
“Sudahlah Nurin. Jangan dilayan lelaki macam tu. Bagus pun kau dah tahu kebenarannya sekarang, yang dia tu pengecut,” Najwa memujuk Nurin. “Patutlah dah lama dia tak telefon atau mesej aku. Aku mesej pun jarang sekali berbalas. Orang dah tak sudi, aku yang tak faham-faham lagi,” Nurin menghela nafas panjang.
No comments:
Post a Comment