Sekadar berkongsi rasa jiwa...

Monday, August 2, 2010

Dalam Diam 9

Dedaun kering yang berserakan di bawah pohon rambutan disapunya dengan pencakar. Seusai menyapu, dia mencabut rerumput yang tidak segan-segan memunculkan diri di celah bata-bata yang disusun ayahnya sebagai lantai taman itu. 
Panas matahari yang semakin meninggi terasa menyucuk kulit. Peluh merenik di dahi disapunya dengan tuala kecil yang tersangkut di bahu. Siap! Puas hatinya melihat taman mini yang sudah kemas itu. Nampak bersih, sedap mata memandang.
“Angah, rajinnya dia!” Shakirah yang muncul tiba-tiba menegurnya. Nurin tersenyum kecil. Bukannya rajin, tapi dia memang sukakan kerja-kerja yang bersangkutan dengan tanaman dan tumbuhan ini. Kalau bab berkaitan pakaian; daripada membasuh hingga melipat pakaian memang dia lemah! Menjahit apatah lagi. Malas sungguh jika hendak dibandingkan dengan Syakirah yang mewarisi bakat ibu dalam bidang jahit-menjahit. 
“Jom sarapan. Ibu masak mi hailam!” Syakirah sedikit menjerit. Nurin bertepuk tangan, “Sedap,sedap! Dah lama tak makan mi hailam ibu.” Syakirah menarik tangan kakaknya. Macam budak-budak!
“Angah, macam mana dengan study? Ok?” ibu bertanya. Nurin membisu. Enak menghirup kuah mi yang pekat itu. Syakirah di sebelah menyiku. Nurin menjeling. Syakirah memuncung ke arah ibu yang menggeleng-gelengkan kepala melihat telatah anak perempuan sulungnya itu. 
“Apa bu?” Nurin bertanya. “Ibu tanya, macam mana pakwe kamu? Sihat?” ibu berlelucon. Nurin mengerutkan dahi. Pakwe? Ibu tahu ke pasal aku dan Kamil? “Study la, ngah. Kamu ni kalau dah jumpa mi hailam ibu, tak heran orang dah,” Syakirah bersuara. 
“Ohh..hehe,” Nurin tersengih-sengih, “terkejut juga ibu tanya pasal pakwe. Tak sabar-sabar dah ke bu, nak tengok Angah kahwin? Study ok bu, sem ni subject tough, sebab dah majoring kan. Tapi alhamdulillah setakat ni boleh buat lagi.” Ibu tersenyum, lega mendengar pengakuan anak perempuan sulungnya itu.
“Pakwe kamu?” ibu mengenyitkan mata. Hah, ibu ni serius ke? Nurin menjeling Syakirah yang membasuh pinggan di sinki. “Tak payah nak jeling-jeling Syakirah tu. Siapa nama pakwe Angah ni, Syakirah?” ibu sedikit melaung. Syakirah berpaling, “Kamil.” 
“Hah, Kamil! Anak Cikgu Zaki kan?” ibu menatap matanya. Mencari kebenaran. Nurin tersipu-sipu. Ayah di sebelah ibu turut tersengih-sengih menanti jawapan anaknya itu. “Ehm…Angah kawan je lah dengan dia bu. Mana ada apa-apa,” Nurin cuba berdalih. Dalam hatinya menyumpah Syakirah yang membocorkan rahsia. Siap kau, Kira! 
“Ibu tak kisah dengan siapa pun yang Angah berkawan. Yang penting, agama dan pelajaran. Jangan sibuk berkawan, buku entah ke mana. Lagi satu, ibu tak suka kamu keluar, dating. Itu ibu tak suka,” ibu memberi nasihat. Ayah di sebelah mengangguk, “Ayah nak kamu jaga diri. Lelaki ni, baik mana pun, kamu tak boleh percaya sangat. Syaitan ada kat mana-mana aje. Jaga diri, jaga nama keluarga. Kamu pun Syakirah, ingat tu! Ehm…kalau anak cikgu Zaki tu, ayah tak kisah. Boleh buat menantu tu,” ayah mengusik. 
Nurin sudah tidak senang duduk. Izlan di hujung meja mengangkat ibu jari, tanda setuju. Along! Nurin menjegilkan mata. Tahulah Kamil tu kawan baik dia masa zaman sekolah dulu.
***
 -Salam.buat apa tu?-
-Salam.tengah baca buku sikit-
-Rajinnye orang tu-
-Takdelah.biase-biase je-
-Ehm…marah lagi ke?-
-Marah?marah ape pulak?-
-Yelah…orang ni mungkir janji.kata nak tolong carikan bahan untuk assignment tapi at last tak tolong pun.sorry ye awak-
-no big apple lah.orang tu pun sibuk,no need nak tambahkan sibuk tu lagi dengan keje orang ni-
-aku rasa bersalah.kan aku dah janji.sorry3-
-takde ape.dah lepas dah pun benda tu.assignment tu pun dah hantar-
-ehm…nurin,yang pasal semalam pun,sorry jugak eh.aku bukan tak nak cakap aku demam.tapi aku memang tak suka heboh kat orang kalau aku tak sihat ke ape ke.yelah, tak nak orang kata cari perhatian-
-mana boleh macam tu.at least cakaplah kat orang ni.orang ni risau tau-
-sayang juga kau kat aku eh..hehe-
Nurin tersengih-sengih menatap mesej yang diterimanya. Ditaipnya laju balasan buat mesej itu. Tiba-tiba terjengul satu kepala di sebalik pintu almari pakaiannya. Nurin mengurut dada, terkejut. “Naj, kot ye pun bagi lah salam ke,ape ke. Terkejut tau,tiba-tiba ada makhluk berkepala besar intai aku,” Nurin pura-pura marah namun sempat dia menyelitkan gurauan di situ. Najwa tergelak besar mendengar kata-kata sahabatnya itu. 
“Hei, main mesej dengan siapa? Kamil eh?” Najwa mencucuk Nurin. Nurin mengelak, namun bibirnya masih mengukir senyum manis. “Yelah tu, senyum memanjang,” Najwa mengusik lagi. Nurin mengangguk kecil. Bunga-bunga bahagia dirasakan sedang mekar di hatinya.

Friday, July 16, 2010

Memaknakan Persahabatan

Menukilkan erti persahabatan itu mudah, indah, seperti pemanah cekap yang menyasarkan busurnya lantas menerjah anak panah tepat ke sasaran. 
Memaknakan persahabatan , itu yang payah. Amat payah. Mengapa? 
Kerana sahabat bukannya satu alat atau entiti tapi sahabat itu adalah dua jasad berbeza hati dan minda. Terpisah. Meski tak sama rupa, warna kulit, bahasa, pemikiran bahkan agama, sahabat disatukan oleh satu naluri. Naluri bersosial yang akhirnya apabila dipenuhi, melahirkan rasa sayang, kasih,percaya, hormat, jujur dan ikhlas. Rasa yang tumbuh ini dibaja dan dibelai hingga akhirnya rasa ini membentuk satu rasa yang unggul. Rasa memiliki dan dimiliki. Bukan hanya cinta menawarkan ini semua. Persahabatan yang diangkat ke petala lebih tinggi juga punya rasa itu.
Aku tidak perlu memandang orang lain untuk berkata begini. Sarat pengalamanku sudah cukup banyak mengajar aku makna di sebalik tujuh huruf, S.A.H.A.B.A.T. 

Bukanlah namanya sahabat jika gembira dan ria sentiasa. Sedangkan lidah lagi tergigit, apa pula sahabat. Persahabatan cerminan perkahwinan. Meski aku belum melangkah ke  alam bahagia itu (dan aku berdoa satu hari aku akan melaluinya), namun melalui pembacaan dan pengalaman insan-insan di sekelilingku, mudah buatku menyimpulkan persahabatan juga umpama perkahwinan. 
Belajar menyesuaikan diri, belajar menerima, belajar memahami, belajar berubah, belajar mengubah, belajar menegur, belajar berkongsi, belajar bertolak-ansur, belajar bersabar, belajar bertenang, belajar berkorban, belajar mengatur, belajar mengambil berat dan yang paling penting, belajar untuk belajar! 
Bukan mudah untuk kita tinggal bersama orang yang berbeza dengan kita, berlainan cara dibesarkan, berlainan cara didikan diterapkan, berlainan budaya, berlainan prinsip, dan segala yang berlainan lagi. Konteks ini sangat dekat dengan situasi di mana dua jasad tinggal bersama-sama. Dua sahabat, sama jantina, sama-sama berkongsi tempat tinggal. Sungguhpun berkongsi ibu Hawa yang sama,namun masih banyak perbezaan yang tidak dapat tidak perlu diterokai dan dijalani. Di sinilah letaknya rasa dimiliki dan memiliki itu. Dua sahabat yang sudah serasi dan sejiwa pasti memahami makna kata-kataku ini. Atau hanya aku yang terlalu melankolik? (ketawa)
 Seperti yang kukatakan, memaknakan persahabatan itu yang payah. Mengapa? 
Kerana sungguhpun dua insan ini berkongsi rasa yang sama, kedua-duanya tidak harus punya pandangan yang sama. Bagaimana yang satu merungkaikan istilah persahabatan tidak mesti serupa dengan yang satu lagi.  Bagaimana seorang menafsirkan perkara-perkara yang berlaku dalam lingkung persahabatan mereka tidak harus sama dengan yang seorang lagi. 
Dua sahabat yang baik , akan bergerak seiringan meski berbeza rentak.seperti perumpamaan Inggeris, ‘my better half’ yang merujuk kepada pasangan hidup yakni suami atau isteri, sahabat sejati menjadi ‘better half’ yang melengkapi dan mengimbangi. 

 Hilang kepercayaan seorang sahabat itu memeritkan. Kehilangan sahabat itu menyakitkan. Kedua-dua perkara ini bersangkutan, saling mengaitkan. 
Seorang sahabat hilang kepercayaan pada sahabatnya lantas memutuskan persahabatan. Seorang sahabat hilang sahabatnya kerana sahabatnya itu hilang kepercayaan terhadap dirinya dan menyangka dia mengkhianati persahabatan mereka. Cliche dalam percintaan? 
Tidak, yang aku maksudkan di sini tiada kena-mengena dengan subjek itu. Kawan beribu takkan terjejas dengan dengan kehilangan seorang cuma, tetapi hilang kepercayaan itu bagai menjadi batu beban yang tergalas di pundak seorang yang dijatuhkan hukuman bersalah. Meski dengan cara apa pun kebenaran cuba ditegakkan, tapi apa daya, jika orang dah tak sudi mendengar, apatah lagi memahami, apa nak disogok lagi?

Jika memandang mukaku itu satu kebencian buatmu, aku sembunyi.
Jika mengetahui satu apa pun cerita tentangku merimaskanmu, aku tutup mulut orang-orang di sekelilingmu.
Jika berhadapan denganku itu membakar hatimu, aku berundur.

Maafkanku kerana tak pandai menafsir.
Silapku terkhilaf menebak hatimu.
Maafkanku kerana cepat membuat kesimpulan.
Silapku terburu-buru.
Biarlah ku menjauhkan diri,
Agar tidak mengganggu kebahagiaanmu.

Maafkanku sahabat,
aku tidak bermaksud menyakitimu, apatah lagi melihat nyala kebencian buatku di matamu. Aku tidak sedar kata-kataku ibarat racun buatmu, tindakanku itu pisau menghiris hatimu. Cuma permintaanku sebelum aku menutup mataku, maafkanku sahabat. 


Tuesday, July 6, 2010

sisi hitam & putih

sisi-sisi dalam hidup ini
hanya ada hitam dan putihnyakah?
tidak wujudkah warna-warna lain mencorakkan sisi-sisi dalam hidup kita?


Situasi 1

Gambar hiasan : Yahoo Search

Keluarga bahagia bermula dengan pasangan bahagia. keluarga sempurna terdiri daripada suami dan isteri, ibu dan ayah, dan anak-anak. sempurna di sini bermaksud lengkap ye! tak bermaksud perfect, sempurna serba-serbi. bagaimana pula jika keluarga yang sempurna ini tiba-tiba menerima kehadiran ahli batu? anak baru ke? oh, no!!!! orang baru! seorang wanita...seorang wanita??!!! what the..??!!

bagaimanakah kedudukan seorang wanita ini yang sudah berkeluarga, hadir dalam hidup keluarga sempurna ini tadi? yang pada awalnya hadir sebagai rakan, rakan baik terutamanya kepada si isteri, kemudian menjadi sangat rapat dengan keluarga ini termasuk si suami?

    what the..??!!

tidakkah wanita ini sedar yang kehadirannya boleh membawa masalah? ok, andaikan kehadirannya diundang oleh keluarga sempurna ini tadi. jadi tiada masalah terlibat. tapi, tunggu!! ke'rapatan'nya dengan keluarga ini yang menjadi masalah. kerapatannya dengan si isteri tidak menjadi masalah. kerapatannya dengan si suami yang menjadi masalah. MASALAH BESAR. astaghfirullah al `azim. wajarkah seorang wanita yang sudah berkeluarga rapat dengan lelaki lain yang juga seorang suami kepada wanita lain. what the..??!!

sisi hitam : 
perbuatan yang sangat tidak patut, pada pandangan aku yang belum berkahwin. bagi orang yang dah berkahwin? lagi lah...

anak kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan. sudah-sudahlah menempek di rumah orang, dengan keluarga orang. tengok-tengoklah pulak rumah awak tu, wahai wanita. anak-anak orang biar mak ayahnye yang jaga, anak awak tu awak tatang lah puas-puas.

sisi putih:
pengajaran buat semua yang bergelar wanita. serapat mana pun anda dengan kawan anda, bestfren anda, jangan biarkan dia rapat dengan suami anda! dengan tunang anda! dengan boyfren anda! NEVER! melainkan anda memang tersangatlah baik hati, takde rase cemburu, dan redha andai pasangan anda beralih kasih. sekian.

peringatan juga buat semua yang bergelar wanita. jangan memandai-mandai rapat dengan orang yang bergelar suami, kecuali orang itu adalah suami anda. jagalah hati orang yang sama jantina dengan anda, kalau anda tak mahu dilukai di masa depan. 

Situasi 2: 

Oh ibu dengarlah kataku
Kahwinkan aku dengan segera
Aku sudah terpikat dengan anak cik Maimon
Parasnya sungguh manis sekali

Kuingat namanya zahara
Kata tetangga ia rajin di dapur
Ibu takkan bersusah punya menantu Zahara
Gadisnya rajin berumah tangga

Ku harap ibu segera lamarkan
Pada Zahara anak cik Maimon
Walau ia tak pandai berdandan
Asal saja pandai didapur

Alangkah senangnya ibu nanti
Punya menantu Zahara anak cik maimon
Akan membantu ibu dan senang padaku
Kuharap ibu segera lamarkan
~Othman Hamzah


Sisi hitam:

_ _ _ _ _ tuuuut _ _ _ _ _
(takde idea)
eh, eh, jap!
ade....
tapi tengok sisi putih dulu

Sisi putih:
Wanita sebagai isteri kenalah pandai memasak, kerana kata orang dulu-dulu, nak memikat suami mestilah dari perutnya. air tangan tu penting. itulah yang akan menambat suami di rumah. chett, bercakap macam dah kawen! bukan ape, pengalaman...tengok para isteri yang memasak di rumah dan keadaan suaminya, memang betullah apa kata orang dulu-dulu tu. malah Nabi Muhammad sendiri, berdasarkan satu kisah, tatkala Fatimah meminta seorang pembantu daripada tawanan perang untuk menolongnya melakukan kerja-kerja rumah yang berat, Nabi tidak menunaikan permintaannya sedangkan dia puteri kesayangan Nabi. bahkan Nabi mengajarkannya dhikir untuk dibaca setiap kali sebelum tidur. apa dhikir tersebut? bertakbir 34 kali, bertasbih 33 kali dan bertahmid 33 kali. apa mesejnya? kebahagiaan rumah tangga tidak hanya bergantung kepada kasih sayang dan kebendaan semata-mata, tetapi pengorbanan dan keberkatan daripada setiap titik peluh yang tercurah untuk memastikan rumah itu boleh dipanggil home, bukan sekadar house. ingat, bukan semua rumah dalam dunia ini boleh kita panggil home. mengadulah kepada Allah  jika penat, lelah dan jemu dengan urusan rumah tangga, sesungguhnya Allah memerhati dan menilai setiap apa yang kita lakukan. ikhlasnya kita takkan dipandang enteng oleh Allah.

 
Gambar hiasan: Yahoo Search

anak-anak pula, bertuah dapat makan masakan ibu, air tangan ibu. bila belajar jauh-jauh, terkenang masakan ibu, balik-balik menerpa ke dapur nak makan hasil tangan ibu. kalau anda sebagai ibu, pasti bangga kan, anak-anak sukakan masakan anda? 



Sisi hitam: 
walaupun awak tu pandai memasak, tapi kenelah berdandan juga. janganlah suami balik tengok awak sememeh je, bau bawang, rambut seghogoi, nak makan beradap, makanan yang sedap pun jadi tawar.


Situasi 3:








Sisi hitam:
Dengan kaki yang patah dan bengkak, akan selamatkah arnab itu? boleh membawa mautkah kecederaan itu? jika arnab itu selamat, bagaimanakah pula nasibnya? makan minumnya? pergerakannya? pasti menderita...kesakitan...cacat??


Sisi putih:
Hampir menitis air mata aku melihatkan keadaan anak arnab itu...
pada mulanya aku ingatkan dia tersepit biasa, jadi aku tarik-tarik sikit badannya, tapi bila tak boleh, tersekat...cepat-cepat aku panggil ayah aku...
ya Allah, dah patah! terpaksa potong lantai sangkar tu...
bengkak, berdarah, terkulai...
yang peliknya
anak arnab tu tak berbunyi sikit pun
ciittt, citttt tak terdengar pun
sakitnye...ya Allah, kasihan dia
(apa sisi putih situasi ni???)
kita pun sebenarnya punya rasa sayang pada binatang
yang kadangkala kita tak sedar kita miliki
tapi
bila benda dah jadi depan mata
baru kita tau
kita punya hati yang lembut (hati tisu?)!
jadi..
buat apa tunjukkan hati yang keras pada orang lain
berbuat baiklah pada semua makhluk Tuhan
manusia, binatang, tumbuhan
dan pamerkan emosi
sayang, marah, sakit
supaya orang tahu
dan mungkin
mereka boleh lengkapi rasa kita itu
dengan membalasnya semula!


sisi-sisi itu hanyalah sisi-sisi yang aku ciptakan berdasarkan pemerhatian aku.
banyak lagi sisi-sisi biru, hijau, merah, ungu,kelabu...
tapi aku hanya mahu tonjolkan dua sisi; hitam dan putih...
mata kita yang memerhati
minda kita yang menelusuri dan mencerna maklumat-maklumat yang kita dapat
hati dan jiwa kita yang mewarnakan sisi-sisi yang kita mahu ianya wujud
iman kita yang menentukan bagaimana kita bermuhasabah dan beramal dengannya
mengambil iktibar dan merancang hala tuju kita
bagaimana kita mencorakkan hidup kita
dan bagaimana orang akan memandangnya
dari sisi hitamkah atau putih
atau dari sisi tak berwarna?