Di dalam sebuah kampung, tinggal seekor anak kucing dan anak ayam. Mereka berdua saling menyayangi antara satu sama lain.
Pada suatu hari, anak kucing itu melawat anak ayam di rumahnya. Ketika itu, anak ayam sedang makan. Melihat kedatangan anak kucing, anak ayam lekas-lekas menuju ke dapur dan meminta ibu ayam menyediakan satu lagi hidangan, “Kawan saya datang,” katanya. Setelah siap, makanan pun dihidangkan kepada anak kucing. Anak kucing memandang pelik makanan yang terhidang di hadapannya. “Macam mana aku nak makan ni?” katanya dalam hati sambil matanya tak lepas-lepas memandang gandum dan ulat di dalam piring tempurung itu. “Makanlah, makan, jangan malu-malu,” kata anak ayam. Dirapatkan piring itu kepada anak kucing. Anak kucing memandang anak ayam, “Saya tak makan ini semua. Saya makan ikan.” Anak ayam memandang anak kucing tidak percaya, “Awak tak makan makanan yang saya makan? Awak tak makan benda yang sama dengan saya? Awak tak suka makanan saya?” “Bukan,” balas anak kucing, “Bukan saya tak suka tapi memang keturunan saya tak makan apa yang awak makan ini.” Anak ayam berasa sedih, sangkanya apa yang disukainya, juga disukai oleh kesayangannya itu.
Pada suatu hari yang lain, anak kucing dan anak ayam berjalan-jalan di pekan. Melihat satu topi yang sangat cantik, anak ayam teringin menghadiahkannya kepada anak kucing. Setelah berjalan sedikit jauh daripada kedai yang menjual topi tersebut, anak ayam berpura-pura ingin ke tandas, bersendirian. Hasratnya mahu membuat kejutan dengan topi itu. Dalam perjalanan pulang, di simpang jalan yang memisahkan lorong ke rumah anak ayam dan anak kucing, anak ayam menghulurkan bungkusan hadiah yang berbalut indah. Anak kucing yang teruja menerima hadiah daripada kesayangannya itu membuka hadiah itu di situ juga. Berubah air mukanya saat matanya menatap topi kuning bercorak bunga-bunga itu. Comel tetapi… “ Anak ayam, saya tak suka warna kuning.” Anak ayam terkedu. Sangkanya selama ini dia sudah mengetahui warna kesukaan kesayangannya itu tetapi rupa-rupanya dia salah.
Pada satu hujung minggu, anak ayam dan anak kucing bercadang menonton wayang bersama-sama. Sesampainya mereka di panggung wayang, mereka berdua begitu teruja melihat senarai cerita yang ditayangkan. “Saya nak tengok cerita seram!” kata anak ayam. “Saya nak tengok cerita cinta!” kata anak kucing. Mereka saling berpandangan. “Kita tengok cerita seramlah,” pujuk anak ayam. “Saya takut, kita tengok cerita cinta eh? Best…” ajak anak kucing. Anak ayam menarik muka masam, pura-pura tak mahu sedangkan sebenarnya dia tidak kisah pun untuk menonton mana-mana cerita asalkan dapat menontonnya bersama-sama anak kucing. Anak kucing merajuk dan berlalu pergi. Anak ayam mengejar anak kucing, “Jom lah, kita tengok cerita cinta.” Anak kucing menggelengkan kepala, terasa hati dengan anak ayam. Tak fahamkah anak ayam yang dia takut menonton cerita seram? “Kita tengok cerita cinta eh? Jom…” tarik anak ayam. Anak kucing akhirnya mengikut langkah anak ayam.
Pada satu hujung minggu yang lain, anak ayam terjatuh ketika bermain-main dengan anak kucing. Kakinya sakit, namun didiamkannya kerana tidak mahu mengganggu mood anak kucing yang sedang sangat gembira. Setelah sampai di rumah, anak ayam mendapati kakinya lebam dan bengkak. Tiga hari anak ayam berehat di rumah sehingga kakinya benar-benar sembuh. Tiga hari jugalah anak ayam tidak keluar bermain dengan anak kucing. Pada hari keempat, anak ayam berjumpa dengan anak kucing. Anak kucing bertanyakan alasan mengapa anak ayam tidak keluar bermain, barulah anak ayam menyatakan perkara sebenar kepada anak kucing. Anak kucing tergamam, tidak menyangka kesayangannya itu merahsiakan keadaan kesihatannya daripada pengetahuannya. Anak kucing berkecil hati, merasakan dirinya tidak penting di hati anak ayam. “Sampai hati awak anak ayam. Tak pentingkah saya pada awak sampai perkara ni pun awak tak nak bagitau saya?” Anak ayam menggeleng-gelengkan kepalanya. Dia tidak mahu anak kucing risau sekiranya tahu keadaannya menyebabkan dia merahsiakannya daripada pengetahuan anak kucing.
Kerana sayang, kadangkala kita membuat sesuatu untuk orang yang kita sayangi, tanpa mengetahui apa yang kita lakukan itu tak semestinya disukai olehnya.
Kadangkala, kita menyangka yang kita sudah mengetahui segala-galanya tentang orang yang kita sayang, tanpa kita sedari sebenarnya banyak lagi tentangnya yang kita perlu pelajari dan fahami
Kerana sayang, kita sanggup berbuat apa sahaja bahkan mengenepikan kepentingan dan kesukaan kita sendiri, semata-mata untuk melihat senyuman orang yang kita sayang kerana senyuman itulah yang menyinari hidup kita dan menggembirakan kita saat kita bersedih
Kerana sayang, kita cuba sedaya upaya kita untuk menjaga hati orang yang kita sayang daripada dilukai namun kadangkala, kitalah yang sebenarnya menjadi penyebab kepada kesedihan dan kelukaan hatinya…