Seorang wanita bertanya, apakah keturunan menyumbang perihal
jodoh? Kakaknya sudah berumur 35 tahun masih belum berkahwin. Usianya sendiri
sudah 25 tahun dan masih belum punya teman.
Tidak, jodoh tiada kaitan dengan keturunan.
Hanya belum
sampai masanya.
Ia bagai meniti ‘jambatan’ untuk ke seberang.
Kalau panjang
jambatannya, jauhlah perjalanan kita.
Ada orang jodohnya cepat sebab
jambatannya singkat.
Usia 25 rasanya belumlah terlalu lewat. Dan usia 35 belum
apa-apa kalau sepanjang usia itu telah digunakan untuk membina kecemerlangan.
Nyatakanlah perasaan dan keinginan anda itu dalam doa-doa lewat sembahyang.
ALLAH mendengar.
Wanita baik untuk lelaki baik sebaliknya wanita jahat untuk
lelaki jahat. Biar lambat jodoh asalkan mendapat Mr. Right dan biar seorang
diri daripada menjadi mangsa lelaki yang tidak beriman kemudian nanti.
Memang kita mudah tersilap menafsir kehidupan ini. kita
selalu sangka, aku pasti bahagia kalau mendapat itu. Aku pasti bahagia kalau
mendapat ini. Hakikatnya, apabila kita benar-benar mendapat apa yang kita
inginkan itu, ia juga datang bersama masalah.
Kita selalu melihat orang memandu kereta mewah dan
terdetiklah di hati kita, bahagianya orang itu.
Hakikatnya apabila kita sendiri
telah memiliki kereta mewah kita ditimpa pelbagai kerenah. Tidak mustahil orang
yang memandu kereta mewah (walaupun sebenarnya tak mewah) terpaksa membayar
lebih tatkala berhenti untuk membeli durian di tepi jalan. Orang lain membeli
dengan harga yang biasa, dia terpaksa membayar berlipat ganda.
Ketika anda terperangkap dalam kesesakan jalan raya,
motosikal mencelah-celah hingga mampu berada jauh di hadapan. Anda pun
mengeluh, alangkah baiknya kalau aku hanya menunggang sebuah motosikal seperti
itu dan segera sampai ke tempat yang dituju. Padahal si penunggang motosikal
mungkin sedang memikirkan, bilakah dia akan memandu kereta di tengah-tengah
bandaraya.
Bukan semua yang anda sangka membahagiakan itu benar-benar
membahagiakan apabila anda mendapatnya kelak. Bahagianya mungkin ada tapi
deritanya juga datang sama. Semua benda, pasti ada baik dan buruknya. Demikian
juga perkahwinan. Ia baik sebab ia dibenarkan oleh agama, sunnah Nabi, sebagai
saluran yang betul melepaskan syahwat di samping membina sahsiah dan
sebagainya, tapi ia juga buruk sebab ramai orang yang berkahwin hidupnya
semakin tidak terurus. Ramai orang menempah neraka sebaik sahaja melangkahkan
kaki ke alam berumah tangga.
Bukankah dengan ijab dan kabul selain menghalalkan
hubungan kelamin, tanggungjawab yang terpaksa dipikul juga turut banyak?
Bukankah apabila anda gagal melaksanakannya anda membina dosa seterusnya
jambatan untuk ke neraka?
Berapa ramai yang menyesali perkahwinan masing-masing
padahal dahulunya mereka bermati-matian membina janji, memupuk cinta kasih malah
ada yang sanggup berkorban apa sahaja asalkan segala impian menjadi nyata?
Jika tidak sanggup untuk bergelar isteri tidak usah
berkahwin dulu.
Jika merasakan diri belum cukup ilmu untuk bergelar ibu ataupun
ayah, belajarlah dahulu.
Jika rasa-rasa belum bersedia untuk bersabar dengan
kerenah anak-anak, carilah dulu kesabaran itu.
Jangan berkahwin dahulu sebab
kenyataannya ramai yang tidak bersedia untuk melangkah tetapi telah melompat,
akhirnya jatuh terjerumus dan tidak jumpa akar berpaut tatkala cuba mendaki
naik.
Berkahwin itu indah dan nikmat bagi yang benar-benar
mengerti tuntutan-tuntutannya. Berkahwin itu menjanjikan pahala yang tidak
putus-putus bagi yang menjadikannya gelanggang untuk mengukuhkan iman,
mencintai TUHAN dan menjadikan syurga sebagai matlamat. Berkahwin itu sempadan
dari ketidaksempurnaan insan kepada kesempurnaan insan – bagi yang mengetahui
rahsia-rahsianya.
Berkahwinlah anda demi TUHAN dan Nabi-NYA, bukan berkahwin
kerana perasaan dan mengikut kebiasaan. Jodoh usah terlalu dirisaukan, tiba
masanya ia akan datang menjemput, namun perlu juga anda membuka
lorong-lorongnya agar jemputan itu mudah sampai dan tidak terhalang.
~Dr. HM Tuah Iskandar al-Haj, Membina Rasa Cinta