seorang guru , di pagi hari menerima anak muridnya di pintu pagar. menangis. menangis yang bukan perlahan. "ina nak ibu...ina nak ibu.." mendayu-dayu tangisannya. suaranya yang memang sedia serak-serak dan kuat, menjadikan volume tangisan itu di skala yang besar.
setelah dipujuk beberapa ketika, si anak murid terdiam. cuma seketika. anginnya datang, tangisannya bergema kembali. si guru masih sabar melayan. buat kali yang ketiga, si guru akhirnya membiarkan. sudah tak larat nak memujuk-mujuk. si guru yang selalunya sabar dan lembut, hari ini hormonnya kurang stabil. anginnya boleh naik bila-bila masa. kesabarannya senipis lempeng pisang.
di kelas, anak itu kembali menangis. disuruh duduk sahaja, air matanya kembali mengalir. kawan-kawan prihatin. "teacher, ina menangis." si guru memandang dan sekadar menegur, "ina, dah, dah tu. nanti petang ibu ambil la. ibu kan work hari ni." benar-benar takde mood nak memujuk hari ini, huh! kawan-kawan yang penyayang bertanya dan memujuk sendiri kawan yang tak henti-henti merengek. "ina, kenapa?" "ina nak ibu?" "ina janganlah nangis. kita tak nangis pun." sudah tak tak tahan mendengar tangisan yang berlarutan, si guru mengugut, "teacher tak nak kawan dengan orang yang menangis. kalau ina tak nangis , teacher kawan dengan ina." ugutan berhasil, namun cuma seketika.
masa berlalu. tiba waktu rehat. ina dibiarkan sedari tadi dalam tangisan on-offnya. beberapa ketika berlalu, tiba-tiba si murid muncul di tepi guru. tersenyum-senyum. memegang baju guru. guru jadi hairan. "ina dah makan?" si murid mengangguk-angguk. duru terdiam. mencerna maklumat. maslow's hierarchy. "ina lapar ye tadi?" si murid mengangguk lagi. "ina lapar..."
sangkanya panas hingga ke petang, rupanya gerimis mengundang di tengah hari. sedang guru sibuk memberi arahan dan menunuk ajar murid-murid di satu meja, tangisan ina bergema kembali.kali ini kuat sekali. "ina nak ayah...ina nak ayah...." suasana kelas memang begitu bising. meja yang si guru duduki juga bersimpongang dengan suara-suara anak gadis meminta guru itu dan ini, berbual sesama sendiri, dan merengek-rengek inginkan perhatian guru. suara si murid yang menangis memang benar-benar menambah kekacauan di meja itu.
si guru jadi kurang sabar. dibiarkan dulu tangisan itu. "ina nak ayah...hukhukhuk..." sabar si guru yang tinggal senipis kulit bawang akhirnya koyak. pandangan tajam dihadiahkan buat murid. tangan dihempas kuat ke meja. "ina, sudah! stop crying! teacher dah penat dengar awak nangis. dah, dah!" sambil telunjuk dihalakan pada murid.
kawan-kawan si murid yang berada di meja itu terdiam. masing-masing memandang si guru yang baru sahaja melampiaskan kemarahan. si guru yang selalu dianggap tidak garang, yang amarahnya juga selalu dipandang enteng, kali ini kelihatan benar-benar menunjukkan darjah kemarahannya yang tinggi.
"teacher, tak baik lah macam tu." murid berambut panjang yang duduk di hadapan guru menegur. guru berpaling memandang yang menegur. "teacher dah penat dengar dia menangis dari pagi tadi, awak." si guru membela diri. sedang dalam hati, malu juga ditegur sebegitu. "janganlah marah ina, dia nak ayah dia." si rambut panjang menyambung. si guru menimbang-nimbang dalam hati. aku ni tak sabar betul, anak aku lagi pandai fikir.
kawan di sebelah murid itu memegang bahu si murid, "ina nak ayah ye?" si murid mengangguk. si kawan berpaling menghadap si guru, "teacher, ina nak ayah dia." guru bangun. ingin membetulkan keadaan. wajib membetulkan persepsi murid dan menunjukkan mereka tindakan yang sewajarnya diambil. "ina, teacher minta maaf. teacher tak patut marah awak macam tu. ina jangan nangis dah ye. nanti petang ayah atau ibu ambil. ina makan, tidur, mandi, main, lepas tu ibu datang ambil ye?" tubuh murid dipeluk. menyalurkan kasih sayang dan pujukan. murid mengangguk kecil. "ina ada masalah dengan ibu ke? ibu ada cakap apa-apa dengan ina?" si murid menggeleng, "ina sayang ibu." "ye teacher tau, ibu pun sayang ina. petang nanti ibu ambil. dah, jangan nangis."
si guru menarik perhatian si murid untuk membuat buku kerja yang terbentang di atas meja. mujur si murid mahu mendengar kata kali ini dan membuat tugasan yang diberikan.
dan ketika kawan-kawannya pulang tengah hari itu, tangisan si murid bergema kembali. "ina...ina..." haih