Sekadar berkongsi rasa jiwa...

Thursday, January 19, 2012

Bahana Cinta Sekilas Pandang

Sekilas anda melihatnya, hati terasa bergetar. Adakah itu cinta? Inilah yang ramai orang keliru. Sekilas anda melihat wajahnya, hati anda pun berkata, "Cantiknya dia." Itu bukannya cinta, tetapi rasa. Rasa muncul serta-merta, tetapi cinta memerlukan masa.


       Beberapa detik berlalu, perasaan anda kembali biasa. Jantung yang tadi berdetak kencang kini kembali normal. Sewaktu sekilas terpandangkannya tadi, perasaan anda menjadi tidak tentu hala. Manakan tidak, wajahnya yang tampan atau cantik itu sangat-sangat menguja perasaan anda.


      Apabila akal memberikan pandangannya dengan berkata, orang cantik selalunya berbahaya, hati kembali menjadi tenang. Lihat sahaja tragedi dalam filem yang biasanya disebabkan oleh orang cantik dan tampan.


Nampak senarionya?


       Rasa dan cinta adalah dua perkara yang berbeza. Sekilas pandang, bukanlah cinta. Bahkan, mustahil membuahkan cinta. Apalagi cinta yang suci dan tulus mulus. Sekilas pandang adalah rasa yang tiba-tiba membuak tinggi. Ibarat air yang dijerang di atas dapur. Sewaktu sekilas anda terpandangkannya, ia menggelegak. Tetapi apabila masa berlalu, air kembali sejuk dan tidak membuak lagi. Perasaan akan menjadi tenang.


        Namun tidak dinafikan, sekilas pandang adakalanya adalah titik mula pada rasa yang akan bertukar menjadi kasih, sayang dan cinta. Tetapi, semua itu mengambil masa. Andainya ia tidak mengambil masa, ia bukanlah cinta yang diperlukan kerana ia hanyalah rasa.


        Takutilah anda akan orang cantik dan tampan kerana kebanyakan masalah perasaan adalah disebabkan oleh golongan ini. Setiap kali anda seperti diganggu cinta sekilas pandang, ketahuilah ia memang disebabkan oleh golongan cantik dan tampan ini. Ia akan membuat anda tidak keruan. Bertenanglah selalu supaya air yang sedang menggelegak di dalam diri anda dapat disejukkan.


        Profesor Madya Dr. Mat Saat Baki pernah menulis, 


                      
'Cinta itu berkembang. Kita tidak jatuh cinta. Cinta pandang pertama adalah suatu mitos. Sebenarnya, perasaan cinta itu berkembang dari masa ke semasa. Lebih lama kita memahami dan mengenali seseorang itu, akan lebih dalamlah perasaan cinta. Namun, menurut, beberapa kajian dan perkongsian pengalaman, ternyata cinta pertama tidak diperlukan sebagai asas kebahagiaan. Tetapi, ia boleh membantu untuk mencapai kebahagiaan'.


        Cinta sekilas pandang selalunya membodohkan. Ia selalu terjadi pada usia remaja. Inilah yang dipanggil sebagai 'cinta monyet' kerana pelaku-pelakunya adalah orang yang sama-sama tidak mengetahui dan tidak mengenali. Mereka hanya 'tersuka', 'teruja' dan 'tercinta' tanpa sebab, alasan dan matlamat yang jelas.


         Selalunya, apabila masa berlalu dan masing-masing sudah semakin meningkat usia, mereka akan terpisah. Lantas dengan sendirinya masing-masing dapat memahami bahawa apa yang dilalui itu adalah rasa dan bukannya cinta. Mereka akan tertawa oleh kebodohan dahulu. Kegawatan perasaan yang dilalui mungkin telah menyebabkan banyak tindakan-tindakan bodoh dilakukan. Ianya memang mengundang kekesalan.


         Cara terbaik, bertenanglah setiap kali hati anda bergetar apabila terpandangkan seseorang. Beritahu diri, yang itu bukan  cinta, tetapi rasa. Jika benar-benar cinta hendak dibangunkan oleh rasa berkenaan, ambil masa untuk mengenalinya dahulu. Usah terus menghimpun cinta di hati kerana takut hujungnya, kecewa. Ambil masa untuk mengenali kerana bukan semua orang serasi dengan anda. Ada orang begitu berkenan di mata, tetapi peribadinya bertentangan sama sekali dengan diri anda. Sudah tentu anda perlu elakkan orang ini daripada terus bertakhta di hati. Maka itulah, cinta memerlukan masa. Usah tersalah pilih atau tersalah membuat keputusan. Setiap yang bernama kesalahan itu pasti membawa penyesalan. 


~ Dr. HM Tuah Iskandar al-Haj, Membina Cinta Suci~