Jalan-jalan di sekitar bandaraya itu lengang pagi ini. Hudzaifah membelok ke Jalan Exora. Keretanya diperlahankan sambil matanya mencari-cari petak kosong untuk dia memarkir Kelisanya. Perutnya berkeroncong minta diisi. Sejak malam semalam lagi dia sudah mengharamkan dirnya daripada menyentuh sebarang makanan. Dia nekad untuk makan sepuas-puasnya pagi ini!
Sudah dua kali dia berpusing-pusing di situ namun tempat-tempat letak kereta masih tetap penuh malah tiada peluang langsung buatnya mencelah walau sekadar di bahu jalan. Menyesal pula rasanya dia kerana keluar lambat sedikit pagi ini.
Sebenarnya dia sudah bersiap awal, sebelum pukul tujuh pagi lagi namun enak bersantai di sofa ruang tamu sambil memikirkan menu apa yang ingin ditempahnya nanti, Hudzaifah tidak sedar jarum pendek jam sudah mencecah angka lapan. Terkocoh-kocoh dia keluar rumah untuk segera ke Restoran Daun Pisang; restoran yang terkenal dengan sarapannya yang enak-enak.
Matanya terpaku pada satu petak kosong di hadapan matanya. Dia menggenggam stereng erat. Bersedia memarkir keretanya. Satu, dua,...dan zuup,sebuah Honda Accord berdesup memasuki petak kosong idamannya itu. Cis, kurang ajar!
Hudzaifah berkira-kira untuk memarahi tuan punya kereta tersebut tetapi niatnya mati tatkala terpandangkan sepasang kaki putih gebu yang terjulur keluar dari bahagian tempat duduk pemandu. ‘Takpelah,di depan tu mungkin ada kosong lagi,’ dia menyejukkan hati sendiri. Nasibnya baik kerana sebuah Wira baru saja keluar selang beberapa petak di hadapannya. Dia pantas bertindak.
“Sorry, kawan. Traffic jam sikit,” Hudzaifah menepuk bahu Amri yang santai berbaju T hitam dan jeans lusuh pagi itu. “Eh, takpe. Aku yang nak belanja kau kan. Duduk, duduk,” Amri membalas sambil tangannya memberi isyarat kepada pelayan yang berada berhampiran mereka.
“Ya, mau order apa incik?” pelayan itu bertanya dalam slanga Tamilnya. Amri memberi isyarat kepada Hudzaifah untuk memesan terlebih dahulu. “Apa-apa je?” Hudzaifah bertanya. “Makan je apa kau nak,aku belanja,” Amri tersenyum manis.
“Mamak, saya nak roti tisu satu, tosai satu, capati dua, kasi kari pedas punya ah! Lepas tu, bagi saya teh tarik buih tinggi punya dua gelas. Kau Amri?” Hudzaifah bermanis mulut. Dalam hatinya, ‘Yuhuu, orang nak belanja kenalah makan puas-puas!’. Amri sekadar memesan roti telur dan secawan kopi susu panas.
Sejam sebelum itu...
Deringan telefon menandakan ada panggilan masuk. Hudzaifah mencapai telefon bimbitnya di atas meja kopi. ‘Syamila?’ hatinya berbisik menatap nama yang tertera di skrin telefon bimbitnya. Tertanya-tanya kenapa gadis kecil molek itu menghubunginya pagi-pagi lagi. Tidak mungkin kerana hal pejabat. Hari ini hari minggu, Ahad.
“Hello,” dia menyambut panggilan itu setelah lama membiarkan pemanggilnya menunggu. “Assalamu’alaikum Hudzaifah,” lembut suara Syamila kedengaran. Hatinya berdegup kuat. “Ya,” dia menjawab perlahan, “Ada apa Mila?”. “Ehm, Mila ingat nak ajak Hudz breakfast pagi ni. Hudz free tak?”. Aduh, bagai hendak gugur jantung Hudzaifah mendengar pelawaan itu!
Fikirannya mencongak-congak. “Pukul berapa Mila?” akhirnya dia membuat keputusan. “Pukul 8, boleh?” Syamila bersuara. “Pukul 8 tak boleh lah, saya jogging. Pukul 9, macam mana?” Hudzaifah cuba menukar rancangan. Mujurlah Syamila bersetuju. Pukul 9 pagi di Restoran Aneka Rasa.
“Hudz, apa lagi yang kau melamun tu. Makanlah,” Amri menepuk bahu Hudzaifah. Terpinga-pinga Hudzaifah sebentar. Namun tatkala terpandangkan roti-roti yang telah terhidang di atas meja, dia tersenyum. Hatinya berdendang ria.
Enak menjamu selera, telinganya menangkap bunyi erangan. Kedengaran seperti orang yang yang sedang dalam kesakitan. Dia memerhatikan dua wanita yang berada di meja sebelah. Mereka nampaknya enak berbual. Lelaki tua di meja belakang pula sedang menatap surat khabar.
Hudzaifah menoleh ke sisi. Muka Amri kelihatan berkerut-kerut. ‘Nampak gayanya kawan aku yang sakit ni,’ Hudzaifah bersuara dalam hati. Dan tiba-tiba Amri bangun meninggalkannya tergesa-gesa.
Sepuluh minit berlalu dan Amri masih belum menampakkan muka. Hudzaifah gelisah di tempat duduknya. Mahu beredar, tidak enak pula rasanya. Tambahan, rakannya itu yang beria-ia mengajaknya bersarapan bersama. Teringat janjinya dengan Syamila. ‘Aduh, cepatlah Am. Aku dah lambat ni,’ Hudzaifah merungut dalam hati.
“Hudzaifah,” bahunya ditepuk dari belakang. Dia menoleh. “Temankan aku makan,”Khairul duduk di tempat Amri. Hudzaifah membeliakkan mata. Amri hilang, Khairul pula muncul? “Kau ada nampak Amri? Aku rasa dia pergi tandas tadi,” Hudzaifah bertanya setelah pelayan berlalu dengan pinggan kotor dan pesanan Khairul. “Amri? Entah,aku tak nampak pun. Kau makan dengan dia ya, tadi?” Khairul kembali bertanya. Hudzaifah menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal.
“Alhamdulillah,” Khairul mengesat mulutnya dengan tisu merah sambil matanya memerhatikan Hudzaifah yang mundar-mandir di meja bernombor sembilan itu. Sesekali rakannya itu mengintai-intai ke arah tandas yang terletak di satu sudut restoran.
“Pergilah jenguk dia di tandas tu. Entah-entah dia cirit-birit tu. Tu yang tak keluar-keluar,” Khairul memuncungkan bibirnya ke arah tandas. Hudzaifah mengangguk-anggukkan kepalanya. Kenapalah aku tak terfikir daripada tadi!
Amri tiada di tandas, dan kerusi Khairul kosong! “Incik, bil belum bayar lagi,” seorang pelayan menghulurkan kertas yang bercoret sesuatu kepadanya. Hudzaifah mendengus. Takkan sudah berjanji membelanja, rakannya itu melarikan diri? “Berapa?” Hudzaifah bertanya.
“RM 23,incik,” pelayan itu mengunjukkan sekali lagi kertas bercoret itu setelah hulurannya tidak diendahkan sebentar tadi. Hudzaifah merampas,kasar. Ditatapnya coretan-coretan di atas kertas itu. “Kenapa banyak sangat ni? Saya makan dua,tiga benda je,” Hudzaifah bersuara lantang, mempamerkan rasa tidak puas hatinya.
“Saya kira sekali sama itu kawan-kawan incik lah. Dia orang kata, incik belanja,” pelayan itu menjawab. Hudzaifah mengetap gigi. Malas mahu memanjangkan cerita, dia mencampakkan tiga keping not merah ke atas meja dan berlalu pergi.
Belum sempat dia menghidupkan enjin keretanya, satu pesanan ringkas diterima melalui telefon bimbitnya; ‘Hudz, Mila dah tunggu lama sangat ni. Mila balik dulu.’ Hudzaifah pantas menekan butang-butang di telefon bimbitnya.
Setelah dua kali mencuba, barulah panggilannya bersambut. “Mila, Mila, sorry, Hudz ada hal sikit tadi. Kereta ni, tayar punctured pulak. Hudz dah on the way ni. Mila tunggu kejap je...sekejap lagi Hudz sampai. Please,” Hudzaifah memujuk. Tidak lama kemudian, bibirnya mengukir senyum.
Keesokan harinya...
Melangkah sahaja ke pejabat, matanya liar mencari kelibat gadis idamannya. Dia ingin memohon maaf. Dia meletakkan beg kulitnya di meja. Melangkah mendapatkan Faizah, kawan baik Syamila. Berniat menanyakan perihal Syamila yang masih belum nampak kelibatnya namun langkahnya mati.
Dia merenung tajam Khairul yang sedang beriringan memasuki pejabat bersama Amri. Nahas kau orang berdua! “Amri, Khairul!” Hudzaifah memekik perlahan namun jelas di pendengaran dua sekawan itu. Langkah mereka terhenti. “Korang nak kenakan aku ye, semalam? Korang bayar balik duit aku tu!” Hudzaifah bercekak pinggang.
Amri dan Khairul berlagak biasa. “Kalau kitorang tak mahu bayar?” Amri tersenyum sinis. “Korang tak mahu bayar? Nampak penumbuk aku ni? Sekejap lagi, ada yang bengkak muka!” Hudzaifah mengacukan penumbuknya ke arah Amri, kemudian Khairul. Dua sekawan itu ketawa, seolah-olah mengejek amaran Hudzaifah.
“Kenapa ni, Hudz?” Syamila muncul dari belakang Amri dan Khairul. Hudzaifah terperanjat. Dia tidak sedar akan kehadiran gadis itu di situ. Dia membetul-betulkan tali lehernya, cuba berlagak biasa. “Takde apa-apalah, saja borak-borak dengan Amri dan Khairul. Jom Mila, Hudz ada benda nak cakap,” Hudzaifah menarik tangan Syamila.
Syamila tidak berganjak, mengeraskan badan. Hudzaifah mengangkat kening. “Kita cakap kat sini je,” Syamila bersuara. Hudzaifah menggaru kepala,” Please, kita cakap kat tempat lain.” Syamila menggeleng-gelengkan kepala. Hudzaifah buntu. Takkan mahu diseretnya gadis itu pergi? “Hudz minta maaf pasal semalam. Hudz betul-betul ada problem dengan kereta Hudz. Hudz belanja makan tengah hari ni?” Hudzaifah mengharapkan agar Syamila menerima pelawaannya sebagai tanda gadis itu sudah memaafkannya.
Memang benar keretanya bermasalah. Belum sempat keluar dari petak letak kereta berdekatan Restoran Daun Pisang semalam, punggung keretanya dihentam dari belakang oleh sebuah motorsikal. Baru sahaja dia membuka pintu keretanya untuk melihat kerosakan yang terjadi, pemandu motorsikal itu sudah memecut laju. Terbakar rasa hatinya. Setelah diteliti, boot keretanya kemek sedikit. Tidak mengapalah, kata hatinya.
Yang penting, dia segera menemui Syamila namun sesampainya dia di restoran tempat mereka berjanji untuk bersarapan bersama, Syamila tidak ditemuinya. Jam di dinding restoran tika itu menunjukkan waktu sepuluh pagi. Ingatannya kepada kejadian semalam dicantas Syamila yang menghulurkan sesuatu kepadanya.
Kelihatannya seperti buku kecil. Dia mencapainya. Menatap helaian pertama daripada buku kecil itu sahaja telah membuat matanya terbeliak. Kerutan di dahinya hampir membuatkan keningnya bercantum.
Hudzaifah sudah dikerumuni hampir separuh daripada kakitangan pejabat itu. Peluh mula menitis di dahinya sungguhpun alat pendingin hawa berfungsi dengan baik. Muka Amri, Khairul dan Syamila yang tersenyum sinis silih berganti bermain-main di matanya.
Suara-suara yang memintanya bertanggungjawab bersipongang. Kepalanya pusing. Ditatapnya sekali lagi helaian pertama buku itu.
Hutang Hudzaifah si budak kaki kelentong dengan staf-staf pejabat Teguh Maju Snd. Bhd.