Sekadar berkongsi rasa jiwa...

Saturday, May 1, 2010

Nilai Cintanya

Sudah seminggu Ikmal membisu. Tiada mesej, tiada panggilan. Sarah bingung. Tidak pernah Ikmal bertindak sebegitu sebelum ini. Jika ada apa-apa masalah atau salah faham sekalipun, Ikmal akan menghubunginya untuk menyatakan perkara sebenar. Kali ini memang Ikmal membuatnya betul-betul bingung.

“Sarah, saya sukakan awak. Saya nak jadi boyfriend awak,” kata-kata yang terluncur dari bibir Ikmal membuatkan Sarah kaget. Pengakuan berani mati itu benar-benar tidak dijangka olehnya. Sarah memerhatikan sekeliling. Mahasiswa-mahasiswa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia keluar masuk daripada perpustakaan universiti. Beberapa pekerja sedang membersihkan pancutan air di hadapan masjid.

“Sarah,” Ikmal mengembalikan Sarah ke dunia nyata. “Berikan saya masa,” Sarah melangkah meninggalkan Ikmal dengan seribu rasa berbaur di dadanya.

“Tit,tit,” bunyi menandakan mesej yang dihantar telah diterima oleh pihak yang satu lagi menerobos pendengaran Sarah. Dia mengeluh. Sudah 15 mesej dihantarnya pada Ikmal sejak semalam namun satu pun tidak berbalas. Panggilan usah katalah, sudah berpuluh-puluh kali dia menghubungi Ikmal namun tidak pernah bersambut. Hairan! Ke mana menghilangnya pria itu?

Sarah dan Ikmal hanya dipisahkan oleh sebuah pintu kaca. Ikmal memandang Sarah. Sarah tunduk memandang kasutnya. Dia berundur, memberi isyarat agar Ikmal keluar dahulu. Ikmal berlalu tanpa menegurnya. Sarah rasa terpukul. Takkan kerana dia tidak mahu menerima pelawaan Ikmal untuk makan bersama, Ikmal tidak mahu mengendahkannya? Salahkah tindakannya?

“Ikmal, saya tak boleh keluar dengan awak,” Sarah memandang Ikmal. Permintaan Ikmal sebentar tadi tidak dapat dipenuhinya. “Sebab awak takut kawan-kawan awak nampak? Awak tak mahu mereka tahu yang kita ni couple?” Ikmal merenung Sarah tajam. Dia rasa terpukul dengan penolakan Sarah. Ini sudah kali yang ketiga Sarah bersikap begitu. “It is not about my friends. It is about us!” Sarah tidak suka Ikmal menyentuh tentang rakan-rakannya. Sarah tahu Ikmal agak memandang rendah kepada para mahasiswa jurusannya bila tiba isu hubungan antara lelaki dan perempuan.

“Come on, Sarah. They are just like us. Dah banyak kali Mal jumpa coursemates Sarah dating. Diorang buat biasa je. Lagipun, Mal ajak Sarah pergi One Utama, jauh. Tak ada orang perasan punya,” Ikmal terus-terusan memujuk Sarah. Dia tidak mahu kecewa lagi kali ini. Sudah lama dia memasang angan-angan untuk keluar berdua-duaan dengan Sarah.

“I’ve told you. It’s not ‘bout them. It’s about us, Ikmal. I don’t wanna go out with you,I mean,if there gonna be just two of us. You and me. Can’t I bring my friends?” Sarah sudah penat berlembut dengan Ikmal. Sudah berkali-kali diterangkannya kepada pria itu tetapi Ikmal tidak pernah faham. Mungkin buat-buat tidak faham. Alasannya, kawan-kawan Sarah boleh, takkan Sarah tidak pula. “Sarah, ini kali kelima Mal ajak Sarah dan Sarah tak pernah terima. Mal dah bosan Sarah. I’m sick of you!” Ikmal menarik begnya kasar dan meninggalkan Sarah terpaku.

Sarah merasakan ada getaran di dalam beg galasnya. Tangannya mengagau, mencari-cari telefon bimbitnya. Hatinya berdebar-debar. Sarah menekan butang ‘Read’. Diam-diam dia berdoa agar nama Ikmal akan muncul. Sesaat berlalu dan Sarah mengeluh. Mesej daripada naqibah.

Sakit rasa hatinya mendengar desas-desus yang dibawa rakan-rakan sekuliahnya semalam. Dia nekad ingin mendengar sendiri daripada mulut yang empunya diri. Geram kerana beberapa mesej yang dihantar tidak berbalas, akhirnya Sarah memicit-micit butang di telefon bimbitnya. “Assalamu’alaikum,” sapanya sebaik talian bersambung. Kedengaran si penerima panggilan membalas kembali ucapan selamatnya. “Mal, Sarah dengar yang Mal dah ada girlfriend baru? Betulkah?” Sarah terus menanyakan soalan yang sudah lama disimpannya. Kedengaran Ikmal mengeluh. Suasana sepi seketika.

“Mana Sarah dengar cerita ni? Mengarutlah! Mal kan dah ada Sarah, buat apa nak pasang satu lagi?” Ikmal bersuara. Sedikit keras di pendengarannya. “Sarah hanya mahukan jawapan ya atau tidak, Mal,” Sarah bersuara tegas. Dia tidak mahu jatuh dalam lembah duka dan sengsara ciptaan dunia cinta. Dia mahu cintanya dibalas dengan kesetiaan dan kejujuran, dibalut dengan kasih sayang dan penghargaan.
“Tidak, Sarah. Mal masih sayangkan Sarah,” Ikmal bersuara perlahan. Masih? Ikmal, jika ada ‘masih’, selepas ini akan terciptakah pula perkataan ‘pernah’?

Ikmal memerhatikan Sarah berlalu pergi dengan pandangan sayu. Tidak disangkanya hari ini, rahsianya akan terbongkar. Dia ditangkap basah oleh kekasih hatinya sendiri. Tadi, sudah puas dia menolak ajakan Hanis untuk bersarapan di Restoran Mama Mia namun semakin ditolak, semakin menjadi-jadi pula manja Hanis. Akhirnya dia yang tidak sampai hati membiarkan gadis itu menarik muncung sepanjang hari menuruti langkah Hanis ke restoran yang terletak di atas kafeteria Kulliyyah of Human Sciences. Lagi pula, perutnya memang berkeroncong minta diisi.

Sedang enak menjamu selera di tepi cermin besar yang menjadi dinding restoran itu, dia terasa dirinya diperhatikan. Sarah sedang mengerlingnya tajam dari luar restoran. Muka gadis itu masam. Lantas dia menemui Sarah yang tercegat seorang diri. Hanis juga kelihatan kaget melihat kemunculan Sarah.

“Sarah, Mal boleh terangkan apa yang berlaku. Hanis yang bising-bising ajak Mal. Mal kesiankan dia,” Ikmal meredupkan pandangannya. Memohon simpati Sarah. Sarah berpeluk tubuh. “Sarah dah tahu cerita ni dari awal cuma Sarah tak nak percaya selagi Sarah tak nampak sendiri. Sarah dah faham kenapa Mal tak jawab panggilan, tak balas mesej-mesej Sarah. And now I know, Ikmal. We’re not meant to be together,”Sarah menyusun langkah meninggalkan pria bermata coklat itu. Panggilan Ikmal tidak diendahkan.

Panggilan demi panggilan daripada Ikmal tidak dijawabnya. Setiap mesej daripada pria itu dibaca, namun terus dipadamkan sejurus dia puas membaca setiap patah kata yang tertera di skrin telefon bimbitnya. Hatinya puas mengetahui kebenaran yang cuba disorok Ikmal selama ini. Tidak perlu lagi dia melayan perasaan rindu dan sakit hati setiap kali dirinya tidak diendahkan. Sudah malas dia mahu melayan perasaan yang semakin hari semakin menjadikannya seorang yang sensitif. Dia harus kuat! Dia harus bangkit daripada kekecewaan!

‘Sarah, datanglah seribu perempuan sekalipun, Mal tetap inginkan Sarah sebagai isteri Mal. Seorang isteri yang menyejukkan hati suami, yang menjadi tulang belakang untuk Mal terus berjuang dalam hidup. Sarah terlalu istimewa. Mungkin Tuhan telah mengirimkan Sarah sebagai penyelamat Mal, bidadari hidup Mal. Maafkan Mal, selama ini Mal terlalu memaksa Sarah mengikut kehendak Mal tanpa memikirkan dan memahami prinsip Sarah. Maafkan Mal, Sarah dan Mal selalu berdoa agar Sarah menerima Mal kembali.’ Mesej Ikmal yang baru sahaja diterimanya membuatkannya termanggu seketika.
Inginkan aku sebagai isteri, tetapi dalam masa yang sama bermain kasih dengan perempuan lain. Belum lagi aku menjadi miliknya yang sah dia sudah membuatku patah hati, apakah ada jaminan yang dia kekal setia tika aku sudah menyerahkan seluruh jiwa dan ragaku padanya nanti?

Sarah berjalan tergesa-gesa menuju ke klinik universiti. Rakan sebiliknya, Farahah demam. Marlia berpesan padanya agar menuruti Farahah ke klinik, bimbang jika Farahah balik bersendirian nanti sementelah Marlia perlu menghadiri kelas Bahasa Melayu Komunikasi untuk Kerjaya. Kafeteria Kulliyyah of Information and Communication Technology dilewati namun baru beberapa langkah melepasi meja terakhir, Sarah berhenti melangkah.

Dia berundur. Pandangannya dihalakan ke arah satu pasangan yang sedang berbual-bual. Sesekali si perempuan tertawa kecil. Mungkin terkesan dengan jenaka yang dituturkan si lelaki. Lelaki itu tiba-tiba menghalakan pandangannya tepat ke arah Sarah. Sarah terpana. Terasa jantungnya berdegup pantas.Sarah menghela nafas panjang. Kembali mengatur langkah. Biarlah aku mahalkan kembali nilai cintaku ini!

‘Mal, Sarah dah buat keputusan. Sarah hanya mahu berkawan dengan Mal. Keputusan ini bukan saja keputusan hati Sarah sendiri, ini juga petunjuk daripada Allah. Sarah doakan Mal bahagia, dan nanti jangan lupa jemput Sarah merasa makan nasi minyak Mal.’ “Tit,tit,” Telefon bimbit Ikmal berbunyi.

No comments: