Sekadar berkongsi rasa jiwa...

Friday, July 16, 2010

Memaknakan Persahabatan

Menukilkan erti persahabatan itu mudah, indah, seperti pemanah cekap yang menyasarkan busurnya lantas menerjah anak panah tepat ke sasaran. 
Memaknakan persahabatan , itu yang payah. Amat payah. Mengapa? 
Kerana sahabat bukannya satu alat atau entiti tapi sahabat itu adalah dua jasad berbeza hati dan minda. Terpisah. Meski tak sama rupa, warna kulit, bahasa, pemikiran bahkan agama, sahabat disatukan oleh satu naluri. Naluri bersosial yang akhirnya apabila dipenuhi, melahirkan rasa sayang, kasih,percaya, hormat, jujur dan ikhlas. Rasa yang tumbuh ini dibaja dan dibelai hingga akhirnya rasa ini membentuk satu rasa yang unggul. Rasa memiliki dan dimiliki. Bukan hanya cinta menawarkan ini semua. Persahabatan yang diangkat ke petala lebih tinggi juga punya rasa itu.
Aku tidak perlu memandang orang lain untuk berkata begini. Sarat pengalamanku sudah cukup banyak mengajar aku makna di sebalik tujuh huruf, S.A.H.A.B.A.T

Bukanlah namanya sahabat jika gembira dan ria sentiasa. Sedangkan lidah lagi tergigit, apa pula sahabat. Persahabatan cerminan perkahwinan. Meski aku belum melangkah ke  alam bahagia itu (dan aku berdoa satu hari aku akan melaluinya), namun melalui pembacaan dan pengalaman insan-insan di sekelilingku, mudah buatku menyimpulkan persahabatan juga umpama perkahwinan. 
Belajar menyesuaikan diri, belajar menerima, belajar memahami, belajar berubah, belajar mengubah, belajar menegur, belajar berkongsi, belajar bertolak-ansur, belajar bersabar, belajar bertenang, belajar berkorban, belajar mengatur, belajar mengambil berat dan yang paling penting, belajar untuk belajar! 
Bukan mudah untuk kita tinggal bersama orang yang berbeza dengan kita, berlainan cara dibesarkan, berlainan cara didikan diterapkan, berlainan budaya, berlainan prinsip, dan segala yang berlainan lagi. Konteks ini sangat dekat dengan situasi di mana dua jasad tinggal bersama-sama. Dua sahabat, sama jantina, sama-sama berkongsi tempat tinggal. Sungguhpun berkongsi ibu Hawa yang sama,namun masih banyak perbezaan yang tidak dapat tidak perlu diterokai dan dijalani. Di sinilah letaknya rasa dimiliki dan memiliki itu. Dua sahabat yang sudah serasi dan sejiwa pasti memahami makna kata-kataku ini. Atau hanya aku yang terlalu melankolik? (ketawa)
 Seperti yang kukatakan, memaknakan persahabatan itu yang payah. Mengapa? 
Kerana sungguhpun dua insan ini berkongsi rasa yang sama, kedua-duanya tidak harus punya pandangan yang sama. Bagaimana yang satu merungkaikan istilah persahabatan tidak mesti serupa dengan yang satu lagi.  Bagaimana seorang menafsirkan perkara-perkara yang berlaku dalam lingkung persahabatan mereka tidak harus sama dengan yang seorang lagi. 
Dua sahabat yang baik , akan bergerak seiringan meski berbeza rentak.seperti perumpamaan Inggeris, ‘my better half’ yang merujuk kepada pasangan hidup yakni suami atau isteri, sahabat sejati menjadi ‘better half’ yang melengkapi dan mengimbangi. 

 Hilang kepercayaan seorang sahabat itu memeritkan. Kehilangan sahabat itu menyakitkan. Kedua-dua perkara ini bersangkutan, saling mengaitkan. 
Seorang sahabat hilang kepercayaan pada sahabatnya lantas memutuskan persahabatan. Seorang sahabat hilang sahabatnya kerana sahabatnya itu hilang kepercayaan terhadap dirinya dan menyangka dia mengkhianati persahabatan mereka. Cliche dalam percintaan? 
Tidak, yang aku maksudkan di sini tiada kena-mengena dengan subjek itu. Kawan beribu takkan terjejas dengan dengan kehilangan seorang cuma, tetapi hilang kepercayaan itu bagai menjadi batu beban yang tergalas di pundak seorang yang dijatuhkan hukuman bersalah. Meski dengan cara apa pun kebenaran cuba ditegakkan, tapi apa daya, jika orang dah tak sudi mendengar, apatah lagi memahami, apa nak disogok lagi?

Jika memandang mukaku itu satu kebencian buatmu, aku sembunyi.
Jika mengetahui satu apa pun cerita tentangku merimaskanmu, aku tutup mulut orang-orang di sekelilingmu.
Jika berhadapan denganku itu membakar hatimu, aku berundur.

Maafkanku kerana tak pandai menafsir.
Silapku terkhilaf menebak hatimu.
Maafkanku kerana cepat membuat kesimpulan.
Silapku terburu-buru.
Biarlah ku menjauhkan diri,
Agar tidak mengganggu kebahagiaanmu.

Maafkanku sahabat,
aku tidak bermaksud menyakitimu, apatah lagi melihat nyala kebencian buatku di matamu. Aku tidak sedar kata-kataku ibarat racun buatmu, tindakanku itu pisau menghiris hatimu. Cuma permintaanku sebelum aku menutup mataku, maafkanku sahabat. 


1 comment:

Cik Aqilah Wardah said...

tq krana mnjadi sahabat saya.. :))

maaf jugak salah n silap.. :))