Sekadar berkongsi rasa jiwa...

Wednesday, December 29, 2010

Semangat yang Hilang

Tidak engkau seorang
Juang hingga titisan
Rempuh tak berharapan

Nanti aku di sana
Di ufuk pemikiran
Lalu menghayatinya

Kita laksanakan
Mata hati yang damai
Di sana kejujuran

Semarak impian segunung harap dipulang
Usahlah diragukan keupayaan sendiri
Hati yang membara mengikutkan kata-kata
Jawapannya di sini
Semangat kita yang hilang
Oh kita cari pulang

Malu bertanya kawan
Sesat cari jalan pulang
Biar ia berkesan
Di lubuk hati terbenam





Monday, December 27, 2010

Mencari

Dia mencari makna cinta
Di celah-celah helaian tinta karya agung
Khabarkan saja di mana letaknya 
Gesit dia meneroka

Dia mencari bentuk cinta 
Di hamparan jutaan hati insan
Yang putih, yang hitam, yang merah, yang biru

Dia mencari warna cinta
Di kanvas-kanvas tercalit ribuan potret
Bermula yang cantik hinggalah yang unik

Dia mencari wajah cinta
Di himpitan ratusan manusia
Yang sedih, yang gembira, yang tenang, yang terluka

Dia mencari haruman cinta
Di setiap pelusuk semesta
Deretan bunga menanti

Namun begitu
Puas dia mencari
Jiwa cinta
Lelah dia bertanya 
Gontai kaki melangkah
Peluh bercucuran

Dia mencari jiwa cinta
Di celah-celah helaian tinta karya agung
Di hamparan jutaan hati insan
Di kanvas-kanvas tercalit ribuan potret
Di himpitan ratusan manusia
Di setiap pelusuk semesta

Jiwa itu tiada
Tidak ditemu
Kerana
Jiwa cinta 
Tidak dapat diungkap
Cuma dapat dirasa
Kehadirannya.

Monday, December 20, 2010

bisik dia dalam hujan...

Entah kenapa, dari dulu lagi dia tidak sukakan hujan lebat. Hujan lebat yang diiringi dentuman guruh dan pancaran kilat sabung-menyabung sekali-sekala boleh membuat badannya menggigil, matanya terpejam rapat. 

Bukan kerana dinginnya angin ataupun silaunya cahaya kilat tapi jiwanya yang bagai meronta-ronta ingin berselimut tebal menutup hujung kaki hingga hujung kepala dan kemudian terlelap, ataupun jika bernasib baik (meski nasibnya setakat ini tidak lagi baik) berada dalam pelukan seseorang yang bisa menenangkannya dengan hangat kasih sayang dan belai kasih. 

Entah kenapa, dia tidak tahu apa sebenarnya yang dia takutkan? Hujan? Guruh? Kilat? Atau sebenarnya dia hanya inginkan kepanasan membalut tubuhnya yang kesejukan? Ataupun kerana suara alam itu senada rusuh jiwanya, lantas dia gelisah?


Meski sudah berhari-hari di rumah berteman hujan, tapi hujan di sini kali ini benar-benar membuat dia tidak selesa. Hujan di rumah lebat, menderu anginnya tapi apabila tiba di jiwanya, hujan itu bertukar lembut mendamaikan. Terasa nyaman membelai. Hujan di sini kali ini meniup angin resah ke dalam dadanya, kadangkala bertiup kencang bagai mahu merobohkan benteng kekuatan yang ada.

Sayu hatinya merenung titis-titis hujan kali ini. Meski sebelum ini tidak pernah terlintas di benaknya untuk menjadi saksi betapa cantiknya kejadian Tuhan itu namun tiba-tiba hari ini mata hatinya terpaku sejenak. Bagai menusuk-nusuk jarum di dadanya dirasakan. Bingung…



Sunday, December 19, 2010

Dari kacamata kurang kuasa

Isu pendidikan seks masih lagi berlegar-legar di ruang akademik di negara ini. Sama ada ianya wajar ataupun tidak untuk dilaksanakan, pihak-pihak yang berkenaan sudahpun membentangkan hujah masing-masing. Jika ditanya pada ibu bapa, berbagai-bagai reaksi dapat dilihat. Baik kerutan di dahi, juih bibir mahupun diam tanda berfikir, semua mengharapkan yang terbaik buat anak-anak, justeru pelaksanaan pendidikan seks bagi mereka haruslah menyajikan seribu satu manfaat berbanding mudarat.

Menyorot kembali silibus pendidikan di sekolah-sekolah milik penuh kerajaan di Malaysia, para pelajar sudah pun disediakan senarai panjang subjek-subjek yang harus dipelajari dan dikuasai. Daripada ilmu bahasa hinggalah ilmu kehidupan dan ilmu kerohanian, satu demi satu pengetahuan didedahkan kepada mereka untuk memenuhi keperluan sebagai manusia, ahli masyarakat dan juga yang paling penting sebagai khalifah di muka bumi ini. Tidak cukupkah senarai panjang ini untuk membantu anak-anak mentah ini menapis dugaan nafsu yang menjebak mereka ke kancah zina? Begitu pendekkah waktu yang ada sehinggakan mereka tidak sempat diajar apakah cara yang lebih baik selain membuang anak di tong sampah dan lorong-lorong gelap?

Saya yakin, berbagai-bagai persoalan telah didasari saat fikrah untuk mewujudkan subjek ini diutarakan. Sebagai pelajar yang masih lagi menuntut walaupun angka usia sudah berganjak agak jauh, ingin sekali saya berkongsi pendapat dan pandangan bersabit isu ini. Pendidikan seks bukanlah sesuatu yang buruk atau menjengkelkan pada pandangan saya. Saya sendiri pernah melalui zaman kanak-kanak yang mana minda penuh pertanyaan, dan beberapa tahun lalu meninggalkan dunia remaja yang dialami penuh keterujaan untuk mengetahui dan mencuba sesuatu yang baru. Itulah fitrah manusia, dan pihak yang berkenaan cuba memenuhinya dengan mewujudkan satu medium agar para pelajar dapat didedahkan dengan salah satu ilmu kehidupan yang begitu halus dan sensitif, agar mereka dapat mengelakkan diri daripada tersasar jalan. Namun, pada pandangan saya, dengan adanya subjek-subjek sedia ada iaitu pendidikan agama, pendidikan moral, sains, biologi, pendidikan kesihatan dan tidak ketinggalan pendidikan sivik, itu sudah memadai untuk memandu anak-anak muda menyelamatkan amukan nafsu dan keterujaan diri daripada berzina dan seterusnya membuang bayi, kerana itulah teras utama kepada pendidikan seks.

Mari kita sama-sama renungkan. Adakah agama membenarkan kita melakukan seks sebelum nikah? Tidak. Adakah orang yang berakhlak mulia, mempunyai nilai moral yang tinggi sanggup membuang bayi yang baru lahir untuk menjadi santapan semut dan anjing? Tak mungkin. Adakah sains menerangkan tentang bagaimana bayi wujud dalam rahim seorang perempuan? Ya. Dengan terjawabnya soalan-soalan ini dan banyak lagi melalui subjek-subjek yang sedang diajar di sekolah-sekolah seluruh Malaysia, bukankah ianya sudah memadai untuk membendung isu zina? Buang anak? Apa yang perlu dilakukan hanyalah memperkasakan pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran (P&P) bagi subjek-subjek ini. Apa yang dapat diperhatikan, para guru mengajar, para pelajar mendengar, kemudian apabila tiba musim peperiksaan, pengetahuan-pengetahuan yang didapati di dalam kelas cumalah dihafal dan dikeluarkan semula ke atas kertas jawapan. Yang difahami dan disimpan di dada buat pedoman menempuh hidup hanyalah secebis cuma.

Saya ingin menarik perhatian anda kepada cara pengajaran satu universiti antarabangsa di negara ini. Bersesuaian dengan namanya, para penuntut di sini didedahkan dengan ilmu agama dan juga persekitaran yang Islamik. Dalam kelas pula, selain menceduk ilmu daripada hasil tulisan para cendekiawan yang majoritinya adalah orang Barat bukan Islam, para penuntut turut dipandu dan dilatih untuk melihat teori dan aplikasinya melalui sudut pandang Islam. Mereka didedahkan dengan bagaimana seorang Muslim seharusnya memandang dan berfikir tentang sesuatu isu itu.

Langkah mengintegrasikan ilmu kehidupan dengan ilmu kerohanian ini amatlah wajar untuk dijadikan panduan, kerana apalah gunanya ilmu yang melangit tinggi jika jiwa kosong. Mendapat tempat pertama dalam kelas, semua A dalam peperiksaan mahupun pointer 4.00 bukanlah ukuran sebenar kejayaan, tetapi bagaimana hidup dijalani dengan bahagia dan tenang. Bukankah melakukan seks sebelum pernikahan petanda ketidakmampuan mengawal nafsu dan diri? Tidakkah keterlaluan jika dikatakan membuang bayi petanda masalah psikologi, ataupun kecelaruan minda?

Perkara teras yang ada masih belum kukuh, rasanya lebih elok diperbaiki daripada sibuk-sibuk menambah cabang yang belum tentu dapat mengatasi masalah yang sudah sedia ada. Takut-takut mencambahkan masalah baru pula. Rohani dan jiwa yang perlu dididik dan diperkuat dengan ilmu agama dan moral; membezakan yang mana baik, yang mana buruk, yang mana betul, yang mana salah, kerana ilmu inilah yang sebenarnya memandu bagaimana ilmu kehidupan akan diterima, diproses dan digunakan. 

Saturday, December 11, 2010

Jejari


Seputar roda dunia
Jejarinya bergerak mengikut arah
Tiap satu punya hukumnya
Jangan langgar, jangan ingkar
Jejari roda dunia
Tiap satu ada tempatnya
Telah ditetapkan paksi
Mengikut kehendak Pencipta
Tiada kuasakah kau wahai jejari,
Diputar roda, kau ikut sahaja?
Telah termaktub
Daya terikat
Langkah dirantai
Jejari punya naluri mahu lepas,
Bisakah?
Selagi jejari masih di roda
Jangan mimpi untuk merdeka
Ikutlah kehendak Pencipta
Ke kiri
Ke kanan
Ke atas
Ke bawah
Kerana nanti
Pabila kau bebas
Kelak dicampak kau
Ke hujung kota
Tempat pemungut sampah
Mula bekerja.



Thursday, December 9, 2010

Pelajaran dua...



*PERHATIAN!
Ruangan ini disediakan untuk kita sama-sama berkongsi bahasa....loghat kuale. bukan bertujuan untuk menunjuk-nunjuk atau menimbulkan kekonfiusan kepada anda mahupun untuk menyelewengkan anda daripada bahasa ibunda anda...cuma untuk berkongsi secebis bahagian daripada diri saya, hidup saya.itulah bahasa yang saya tuturkan. untuk makluman anda, setiap entry akan ditulis dalam loghat kuale yang saya tuturkan dan yang saya tahu, namun perlu diingatkan, tidak semua perkataan yang digunakan digunapakai oleh semua orang kuale, ada sesetengah perkataan hanya digunakan di tempat tertentu dan mungkin berbeza penggunaannya di tempat lain (contoh kampung lain) walaupun berada di daerah yang sama,iaitu kuala kangsar. ada sesetengah perkataan sudah jarang didengari kerana biasanya digunakan oleh orang lama. cara penuturannya pula mungkin tidak 100% sama dengan cara perkataan ditaip. buat sesiapa yang ingin menegur jika saya tersilap, ingin menambah jika ada yang saya terkurang, jangan segan-segan..komenlah saya =)


Prangg!!! kedengaran bunyi benda pecah di luar rumah. kak senah menjenguk ke luar tingkap dari biliknya yang terletak bersebelahan dengan ruang tamu. alamak! pasu aku!

"Amin!!!!" lantang suara kak senah melaung, memanggil anaknya yang sudah berdesup lari bersembunyi di balik pokok rambutan di hadapan rumah. menggigil mendengar tempikan emaknya. kak senah mengikat rambutnya yang sudah seghogoi kerana berbaring-baring tadi, merehatkan diri bak badak air kepenatan di atas katil. manakan tidak, daripada pagi bertungkus-lumus menyiapkan rumah yang bab tongkang pecah, anak-anaknya yang seramai lima orang itu masih kecil-kecil lagi. 

"Mane die budok ni? Hish, dapat kat aku kaghang ni, siap le. Dengan ghotan je aku sebat. doh beghape kali aku pesan, maen jangan di sini. maen le depan sane tu, bukan takde tempat. tempat ni juge yang digemornye. habeh pasu aku bedeghei..hiiisshhhhh!" bagai meghampoih saje kak senah. lagak budak yang tak dapat barang mainan. 

kebetulan siti, anaknya yang ketiga lalu di depan mata. "Siti," kak senah menyergah. terkedu anaknya itu, menoleh memandang emaknya yang bagai singa kelaparan. "abang kamu mana? abang kamu? amin? mane dia? mak nak ghempit die...dipecohkannye pasu mak. baru je mak beli dari ipoh haghi tu. mehei tau dok?" siti terkebil-kebil memandang emaknya, "mak ni, bisen le.oghang nak maen pun tak senang. mane le oghang tau abang kat mane. oghang daghi ghumoh sakinah ni." mulut siti memuncung, tidak senang mendengar bebelan emaknya sedangkan bukan kesalahnnya pasu emaknya pecah.

satu motorsikal memasuki halaman rumah kak senah. "Ape bisen-bisen ni senah...daghi jaoh doh abang dengor," abang mat menegur. dia yang baru pulang daripada kerja hairan memerhatikan orang rumahnya yang tercegat bagai polis pencen di depan pintu. "amin ni hah, habeh pecoh pasu awak dilanggornye. mane awak tak gegham," kak senah mengadu. abang mat menggeleng-gelengkan kepala. faham benar dengan perangai isterinya. "dah-dah la tu. bukan mehei mane pasu tu, nanti kite gam kan balik ye yang," abang mat berseloghoh. kak senah  mencebik. 

TRANSLATION


Prangg!!! kedengaran bunyi benda pecah di luar rumah. kak senah menjenguk ke luar tingkap dari biliknya yang terletak bersebelahan dengan ruang tamu. alamak! pasu aku!

"Amin!!!!" lantang suara kak senah melaung, memanggil anaknya yang sudah berdesup lari bersembunyi di balik pokok rambutan di hadapan rumah. menggigil mendengar tempikan emaknya. kak senah mengikat rambutnya yang sudah kusut-masai kerana berbaring-baring tadi, merehatkan diri bak badak air kepenatan di atas katil. manakan tidak, daripada pagi bertungkus-lumus menyiapkan rumah yang bab tongkang pecah, anak-anaknya yang seramai lima orang itu masih kecil-kecil lagi. 

"Mane die budak ni? Hish, dapat dek aku nanti ni, siap la. Dengan rotan je aku sebat. dah berapa kali aku pesan, main jangan di sini. main la di depan sana tu, bukan takde tempat. tempat ni juge yang disukanya. habis pasu aku berderai /pecah..hiiisshhhhh!" bagai membentak saja kak senah. lagak budak yang tak dapat barang mainan. 

kebetulan siti, anaknya yang ketiga lalu di depan mata. "Siti," kak senah menyergah. terkedu anaknya itu, menoleh memandang emaknya yang bagai singa kelaparan. "abang kamu mana? abang kamu? amin? mana dia? mak nak rotan dia...dipecahkannya pasu mak. baru je mak beli dari ipoh hari tu. mahal tau tak?" siti terkebil-kebil memandang emaknya, "mak ni, bising la.orang (saya) nak main pun tak senang. mana la orang tau abang kat mane. orang dari rumah sakinah ni." mulut siti memuncung, tidak senang mendengar bebelan emaknya sedangkan bukan kesalahnnya pasu emaknya pecah.

satu motorsikal memasuki halaman rumah kak senah. "Ape bising-bising ni senah...dari jauh dah abang dengar," abang mat menegur. dia yang baru pulang daripada kerja hairan memerhatikan orang rumahnya yang tercegat bagai polis pencen di depan pintu. "amin ni hah, habis pecah pasu saya dilanggarnya. mana saya tak geram," kak senah mengadu. abang mat menggeleng-gelengkan kepala. faham benar dengan perangai isterinya. "dah-dah la tu. bukan mahal mana pasu tu, nanti kite gam kan balik ye yang," abang mat berseloroh/bergurau. kak senah  mencebik. 



Tuesday, December 7, 2010

Selamat...selamat...selamat...

Selamat....
Selamat...
Selamat pengantin baru....
eh,eh....
selamat bertunang...http://www.emocutez.com
eh,eh...nape aku pulak yang malu? hehe....

buat sepupuku yang manis...
nur adawiyah mohd dzazuli
dan pasangannya...(alamak, tak tau name plak http://www.emocutez.com



meriah majlis yang berlangsung....
ini baru bertunang...
kalau kahwin nanti....fuyooOO http://www.emocutez.com

semoga segala urusan akan berjalan lancar
hingga ke jinjang pelamin...
hingga ke anak cucu...
sampai akhir hayat...
amiin~


delegasi sedang berbincang http://www.emocutez.com


hantaran daripada pihak perempuan http://www.emocutez.com


hantaran pihak lelaki http://www.emocutez.com


upacara paling penting...
yeehaaaa...
dah sah!
http://www.emocutez.com

congratulation...
lalala~
http://www.emocutez.com