Melangkah masuk ke ruang kecil bercat putih seperti membangkitkan semangat baru buatku. Ruang yang telah menjadi rumah,oh bukan rumah, bilik keduaku saban pagi semester yang lalu kelihatannya masih sama. Tiada apa yang berubah. Kerusi, papan putih, lantai berjubin cerah, dinding, dan oh…meja pensyarah yang baru! Merenung sekitar, wajah-wajah rakan sekelasku, ramai yang tidak kukenali sungguhpun pernah berpapasan dan saling berbalas senyum.
Hemm…azam baru. Harus lebih aktif dalam kelas. Berlari ke sana-sini, mengusik kawan-kawan dengan pembaris dan pemadam…eh,eh. Aku sudah jadi senior, senior di sini. Aku harus berani keluarkan pendapat, memberi jawapan dan turut berdiskusi dalam kuliah.
Sepuluh minit berlalu, dua tiga soalan sudah terapung di udara perbincangan namun tiada siapa yang membuka mulut. Mana dia cerdik pandai kelas? Mana dia aku, yang beria-ia tadi mahu memberi pendapat? Yang mahu berkongsi jawapan? Yang ingin turut serta dalam lingkung perbincangan?
Pensyarah yang bertanya, dia juga yang menyediakan jawapan.
Pelajar-pelajar? Sekadar menjawab dalam hati.
Ada yang berani, bukan tiada…cuma keberanian hanya bermain
di hujung lidah dan apabila diulang tanya oleh Dr. pensyarah,
mulut ditutup rapat, membiaskan senyum malu.
Oh, itu dia penyelamat kami! Ada suara sederhana lantang di hujung sana mengutarakan jawapan buat salah satu daripada pertanyaan yang membukit.
“Bagus, berani!” pujiku dalam hati. Aku yakin yang lain-lain juga. Intai punya intai, rupa-rupanya pelajar antarabangsa yang bersuara tadi. “Huh, padanlah,” kataku (dalam hati lagi). Padanlah apa? Padanlah dia yang menjawab, dia kan pelajar antarabangsa. Kenapa? Pelajar tempatan, kelahiran Malaysia tidak boleh menjawab?
Pelajar-pelajar dalam dilema. Bukan tidak tahu jawapan, bukan tidak mahu berfikir. Satu jawapan. Malu. Malu jawapan yang diberi salah. Malu jawapan tidak menepati kehendak Dr. pensyarah. Malu diperhatikan rakan-rakan jika pensyarah mengulas atau mengkritik jawapan diberikan. Mengapa adanya malu itu?
Bukankah tiada istilah malu dalam belajar? Malu kerana kurang yakin sebenarnya. Low self-esteem. Eh, betulkah? (memandai-mandai je aku ni!) Mengapa kurang yakin? Kerana…diri tidak pernah diyakinkan. Mengapa? Kerana tidak pernah mencuba. That’s it! Ting! Mengapa tidak mencuba? Deyy..berapa banyak mengapa daa? Ok,ok, ni yang last… Kerana pengetahuan dan pengalaman orang di sekeliling dijadikan ukuran. Kerana takut salah. Dan memang kami begini. MEMANG KITA BEGINI.
Adat orang Melayu, bersederhana dalam segala hal, dan adakalanya rela mendahulukan kepentingan orang lain. Jika Dr.pensyarah bertanya, dalam benak kita, “Huh, jawapan aku betulkah? Macam tak betol je. Biarlah orang lain yang jawab. Orang lain lagi pandai.” Sudahnya tiada siapa yang menjawab. Ataupun jika ada, tiba-tiba, ting! “Alaa…sama la dengan jawapan aku!” Pulak……….
Berbeza dengan masyarakat luar, mereka berada dalam situasi dan konteks masyarakat yang mendidik dan menyediakan ruang untuk berfikiran terbuka, menerima dan memberi pendapat dengan hati dan minda yang terbuka, meraikan setiap pandangan dan jawapan walaupun salah.
Masyarakat Melayu bagaimana? Bukan berniat menyindir, apatah lagi membuka pekung di dada…sekadar renungan bersama. Sejak dahulu, masyarakat Melayu diajar dan dididik (atau sebenarnya dibrainwash) untuk hormat pada orang yang lebih tua dan orang yang berkuasa. Tidak salah memberi penghormatan, tetapi biarlah berpada-pada.
Walaupun mereka makan garam lebih dulu dan lebih banyak (sehinggakan segelintir mereka terkena penyakit darah tinggi) tetapi tidak semestinya tiap patah kata yang mereka utarakan itu benar, betul dan wajib dipatuhi. Tapi inilah adat, jangan membangkang, jangan derhaka!
“Kamu nak tengok mak mati mata terbeliak?” Na`udhubillah min dhalik. “Syurga di bawah tapak kaki ibu. Jangan melawan. Sekali seumur hidup. Tak apa.” Kalau ibu melarang saya bertudung, semata-mata mahukan saya kelihatan cantik bersanggul di atas pelamin, bukankah ibu telah menukarkan syurga itu jadi neraka, ibu?
Lalu bagaimana minda anak Melayu berkembang? Jadilah dia anak yang baik, yang mendengar kata, yang patuh. Kemudian sikap ini diwariskan pula kepada anak-anaknya. Tanpa modifikasi, melalui teladan dan penerapan secara tak langsung seperti yang dilakukan oleh nenek pada ibunya, dan oleh ibu pada dirinya.
Sikap ini akhirnya jadi sebati, membawa ke zaman teknologi, ke dalam kelasku ini. Aku yakin bukan sedikit yang ingin menjawab soalan Dr. pensyarah tetapi kekangan dalam diri sangat besar hingga membantutkan hasrat dan perlakuan.
Siapa yang boleh mengoyakkan kekangan ini? Siapa yang mampu merobohkan benteng dalam diri ini? Hanya yang empunya diri yang mampu, kerana segalanya bermula dari dalam diri, dari minda, dari hati, dari sikap. Bila lagi ingin berubah wahai diri?
Aku angkat tangan perlahan-lahan. Sekadar separas bahu. “Yes,” Dr. pensyarah memandangku. Lidahku tiba-tiba jadi lancar menuturkan kata-kata yang tadinya hanya berlegar-legar di benak fikir.
Pensyarah tersenyum memandangku, dan mengulas pandanganku bersama sedikit tokok tambah untuk menguatkannya. Aku puas.
Tembok dalam diri perlahan-lahan aku lihat roboh, berderai dan senyuman menguntum dikit-dikit di bibir yang kering.
2 comments:
amboi2...tolong jawab soalan saya...
dalam seminggu ada berapa hari...=p
tujuh hari cikgu =p
Post a Comment