Sekadar berkongsi rasa jiwa...

Wednesday, December 29, 2010

Semangat yang Hilang

Tidak engkau seorang
Juang hingga titisan
Rempuh tak berharapan

Nanti aku di sana
Di ufuk pemikiran
Lalu menghayatinya

Kita laksanakan
Mata hati yang damai
Di sana kejujuran

Semarak impian segunung harap dipulang
Usahlah diragukan keupayaan sendiri
Hati yang membara mengikutkan kata-kata
Jawapannya di sini
Semangat kita yang hilang
Oh kita cari pulang

Malu bertanya kawan
Sesat cari jalan pulang
Biar ia berkesan
Di lubuk hati terbenam





Monday, December 27, 2010

Mencari

Dia mencari makna cinta
Di celah-celah helaian tinta karya agung
Khabarkan saja di mana letaknya 
Gesit dia meneroka

Dia mencari bentuk cinta 
Di hamparan jutaan hati insan
Yang putih, yang hitam, yang merah, yang biru

Dia mencari warna cinta
Di kanvas-kanvas tercalit ribuan potret
Bermula yang cantik hinggalah yang unik

Dia mencari wajah cinta
Di himpitan ratusan manusia
Yang sedih, yang gembira, yang tenang, yang terluka

Dia mencari haruman cinta
Di setiap pelusuk semesta
Deretan bunga menanti

Namun begitu
Puas dia mencari
Jiwa cinta
Lelah dia bertanya 
Gontai kaki melangkah
Peluh bercucuran

Dia mencari jiwa cinta
Di celah-celah helaian tinta karya agung
Di hamparan jutaan hati insan
Di kanvas-kanvas tercalit ribuan potret
Di himpitan ratusan manusia
Di setiap pelusuk semesta

Jiwa itu tiada
Tidak ditemu
Kerana
Jiwa cinta 
Tidak dapat diungkap
Cuma dapat dirasa
Kehadirannya.

Monday, December 20, 2010

bisik dia dalam hujan...

Entah kenapa, dari dulu lagi dia tidak sukakan hujan lebat. Hujan lebat yang diiringi dentuman guruh dan pancaran kilat sabung-menyabung sekali-sekala boleh membuat badannya menggigil, matanya terpejam rapat. 

Bukan kerana dinginnya angin ataupun silaunya cahaya kilat tapi jiwanya yang bagai meronta-ronta ingin berselimut tebal menutup hujung kaki hingga hujung kepala dan kemudian terlelap, ataupun jika bernasib baik (meski nasibnya setakat ini tidak lagi baik) berada dalam pelukan seseorang yang bisa menenangkannya dengan hangat kasih sayang dan belai kasih. 

Entah kenapa, dia tidak tahu apa sebenarnya yang dia takutkan? Hujan? Guruh? Kilat? Atau sebenarnya dia hanya inginkan kepanasan membalut tubuhnya yang kesejukan? Ataupun kerana suara alam itu senada rusuh jiwanya, lantas dia gelisah?


Meski sudah berhari-hari di rumah berteman hujan, tapi hujan di sini kali ini benar-benar membuat dia tidak selesa. Hujan di rumah lebat, menderu anginnya tapi apabila tiba di jiwanya, hujan itu bertukar lembut mendamaikan. Terasa nyaman membelai. Hujan di sini kali ini meniup angin resah ke dalam dadanya, kadangkala bertiup kencang bagai mahu merobohkan benteng kekuatan yang ada.

Sayu hatinya merenung titis-titis hujan kali ini. Meski sebelum ini tidak pernah terlintas di benaknya untuk menjadi saksi betapa cantiknya kejadian Tuhan itu namun tiba-tiba hari ini mata hatinya terpaku sejenak. Bagai menusuk-nusuk jarum di dadanya dirasakan. Bingung…



Sunday, December 19, 2010

Dari kacamata kurang kuasa

Isu pendidikan seks masih lagi berlegar-legar di ruang akademik di negara ini. Sama ada ianya wajar ataupun tidak untuk dilaksanakan, pihak-pihak yang berkenaan sudahpun membentangkan hujah masing-masing. Jika ditanya pada ibu bapa, berbagai-bagai reaksi dapat dilihat. Baik kerutan di dahi, juih bibir mahupun diam tanda berfikir, semua mengharapkan yang terbaik buat anak-anak, justeru pelaksanaan pendidikan seks bagi mereka haruslah menyajikan seribu satu manfaat berbanding mudarat.

Menyorot kembali silibus pendidikan di sekolah-sekolah milik penuh kerajaan di Malaysia, para pelajar sudah pun disediakan senarai panjang subjek-subjek yang harus dipelajari dan dikuasai. Daripada ilmu bahasa hinggalah ilmu kehidupan dan ilmu kerohanian, satu demi satu pengetahuan didedahkan kepada mereka untuk memenuhi keperluan sebagai manusia, ahli masyarakat dan juga yang paling penting sebagai khalifah di muka bumi ini. Tidak cukupkah senarai panjang ini untuk membantu anak-anak mentah ini menapis dugaan nafsu yang menjebak mereka ke kancah zina? Begitu pendekkah waktu yang ada sehinggakan mereka tidak sempat diajar apakah cara yang lebih baik selain membuang anak di tong sampah dan lorong-lorong gelap?

Saya yakin, berbagai-bagai persoalan telah didasari saat fikrah untuk mewujudkan subjek ini diutarakan. Sebagai pelajar yang masih lagi menuntut walaupun angka usia sudah berganjak agak jauh, ingin sekali saya berkongsi pendapat dan pandangan bersabit isu ini. Pendidikan seks bukanlah sesuatu yang buruk atau menjengkelkan pada pandangan saya. Saya sendiri pernah melalui zaman kanak-kanak yang mana minda penuh pertanyaan, dan beberapa tahun lalu meninggalkan dunia remaja yang dialami penuh keterujaan untuk mengetahui dan mencuba sesuatu yang baru. Itulah fitrah manusia, dan pihak yang berkenaan cuba memenuhinya dengan mewujudkan satu medium agar para pelajar dapat didedahkan dengan salah satu ilmu kehidupan yang begitu halus dan sensitif, agar mereka dapat mengelakkan diri daripada tersasar jalan. Namun, pada pandangan saya, dengan adanya subjek-subjek sedia ada iaitu pendidikan agama, pendidikan moral, sains, biologi, pendidikan kesihatan dan tidak ketinggalan pendidikan sivik, itu sudah memadai untuk memandu anak-anak muda menyelamatkan amukan nafsu dan keterujaan diri daripada berzina dan seterusnya membuang bayi, kerana itulah teras utama kepada pendidikan seks.

Mari kita sama-sama renungkan. Adakah agama membenarkan kita melakukan seks sebelum nikah? Tidak. Adakah orang yang berakhlak mulia, mempunyai nilai moral yang tinggi sanggup membuang bayi yang baru lahir untuk menjadi santapan semut dan anjing? Tak mungkin. Adakah sains menerangkan tentang bagaimana bayi wujud dalam rahim seorang perempuan? Ya. Dengan terjawabnya soalan-soalan ini dan banyak lagi melalui subjek-subjek yang sedang diajar di sekolah-sekolah seluruh Malaysia, bukankah ianya sudah memadai untuk membendung isu zina? Buang anak? Apa yang perlu dilakukan hanyalah memperkasakan pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran (P&P) bagi subjek-subjek ini. Apa yang dapat diperhatikan, para guru mengajar, para pelajar mendengar, kemudian apabila tiba musim peperiksaan, pengetahuan-pengetahuan yang didapati di dalam kelas cumalah dihafal dan dikeluarkan semula ke atas kertas jawapan. Yang difahami dan disimpan di dada buat pedoman menempuh hidup hanyalah secebis cuma.

Saya ingin menarik perhatian anda kepada cara pengajaran satu universiti antarabangsa di negara ini. Bersesuaian dengan namanya, para penuntut di sini didedahkan dengan ilmu agama dan juga persekitaran yang Islamik. Dalam kelas pula, selain menceduk ilmu daripada hasil tulisan para cendekiawan yang majoritinya adalah orang Barat bukan Islam, para penuntut turut dipandu dan dilatih untuk melihat teori dan aplikasinya melalui sudut pandang Islam. Mereka didedahkan dengan bagaimana seorang Muslim seharusnya memandang dan berfikir tentang sesuatu isu itu.

Langkah mengintegrasikan ilmu kehidupan dengan ilmu kerohanian ini amatlah wajar untuk dijadikan panduan, kerana apalah gunanya ilmu yang melangit tinggi jika jiwa kosong. Mendapat tempat pertama dalam kelas, semua A dalam peperiksaan mahupun pointer 4.00 bukanlah ukuran sebenar kejayaan, tetapi bagaimana hidup dijalani dengan bahagia dan tenang. Bukankah melakukan seks sebelum pernikahan petanda ketidakmampuan mengawal nafsu dan diri? Tidakkah keterlaluan jika dikatakan membuang bayi petanda masalah psikologi, ataupun kecelaruan minda?

Perkara teras yang ada masih belum kukuh, rasanya lebih elok diperbaiki daripada sibuk-sibuk menambah cabang yang belum tentu dapat mengatasi masalah yang sudah sedia ada. Takut-takut mencambahkan masalah baru pula. Rohani dan jiwa yang perlu dididik dan diperkuat dengan ilmu agama dan moral; membezakan yang mana baik, yang mana buruk, yang mana betul, yang mana salah, kerana ilmu inilah yang sebenarnya memandu bagaimana ilmu kehidupan akan diterima, diproses dan digunakan. 

Saturday, December 11, 2010

Jejari


Seputar roda dunia
Jejarinya bergerak mengikut arah
Tiap satu punya hukumnya
Jangan langgar, jangan ingkar
Jejari roda dunia
Tiap satu ada tempatnya
Telah ditetapkan paksi
Mengikut kehendak Pencipta
Tiada kuasakah kau wahai jejari,
Diputar roda, kau ikut sahaja?
Telah termaktub
Daya terikat
Langkah dirantai
Jejari punya naluri mahu lepas,
Bisakah?
Selagi jejari masih di roda
Jangan mimpi untuk merdeka
Ikutlah kehendak Pencipta
Ke kiri
Ke kanan
Ke atas
Ke bawah
Kerana nanti
Pabila kau bebas
Kelak dicampak kau
Ke hujung kota
Tempat pemungut sampah
Mula bekerja.



Thursday, December 9, 2010

Pelajaran dua...



*PERHATIAN!
Ruangan ini disediakan untuk kita sama-sama berkongsi bahasa....loghat kuale. bukan bertujuan untuk menunjuk-nunjuk atau menimbulkan kekonfiusan kepada anda mahupun untuk menyelewengkan anda daripada bahasa ibunda anda...cuma untuk berkongsi secebis bahagian daripada diri saya, hidup saya.itulah bahasa yang saya tuturkan. untuk makluman anda, setiap entry akan ditulis dalam loghat kuale yang saya tuturkan dan yang saya tahu, namun perlu diingatkan, tidak semua perkataan yang digunakan digunapakai oleh semua orang kuale, ada sesetengah perkataan hanya digunakan di tempat tertentu dan mungkin berbeza penggunaannya di tempat lain (contoh kampung lain) walaupun berada di daerah yang sama,iaitu kuala kangsar. ada sesetengah perkataan sudah jarang didengari kerana biasanya digunakan oleh orang lama. cara penuturannya pula mungkin tidak 100% sama dengan cara perkataan ditaip. buat sesiapa yang ingin menegur jika saya tersilap, ingin menambah jika ada yang saya terkurang, jangan segan-segan..komenlah saya =)


Prangg!!! kedengaran bunyi benda pecah di luar rumah. kak senah menjenguk ke luar tingkap dari biliknya yang terletak bersebelahan dengan ruang tamu. alamak! pasu aku!

"Amin!!!!" lantang suara kak senah melaung, memanggil anaknya yang sudah berdesup lari bersembunyi di balik pokok rambutan di hadapan rumah. menggigil mendengar tempikan emaknya. kak senah mengikat rambutnya yang sudah seghogoi kerana berbaring-baring tadi, merehatkan diri bak badak air kepenatan di atas katil. manakan tidak, daripada pagi bertungkus-lumus menyiapkan rumah yang bab tongkang pecah, anak-anaknya yang seramai lima orang itu masih kecil-kecil lagi. 

"Mane die budok ni? Hish, dapat kat aku kaghang ni, siap le. Dengan ghotan je aku sebat. doh beghape kali aku pesan, maen jangan di sini. maen le depan sane tu, bukan takde tempat. tempat ni juge yang digemornye. habeh pasu aku bedeghei..hiiisshhhhh!" bagai meghampoih saje kak senah. lagak budak yang tak dapat barang mainan. 

kebetulan siti, anaknya yang ketiga lalu di depan mata. "Siti," kak senah menyergah. terkedu anaknya itu, menoleh memandang emaknya yang bagai singa kelaparan. "abang kamu mana? abang kamu? amin? mane dia? mak nak ghempit die...dipecohkannye pasu mak. baru je mak beli dari ipoh haghi tu. mehei tau dok?" siti terkebil-kebil memandang emaknya, "mak ni, bisen le.oghang nak maen pun tak senang. mane le oghang tau abang kat mane. oghang daghi ghumoh sakinah ni." mulut siti memuncung, tidak senang mendengar bebelan emaknya sedangkan bukan kesalahnnya pasu emaknya pecah.

satu motorsikal memasuki halaman rumah kak senah. "Ape bisen-bisen ni senah...daghi jaoh doh abang dengor," abang mat menegur. dia yang baru pulang daripada kerja hairan memerhatikan orang rumahnya yang tercegat bagai polis pencen di depan pintu. "amin ni hah, habeh pecoh pasu awak dilanggornye. mane awak tak gegham," kak senah mengadu. abang mat menggeleng-gelengkan kepala. faham benar dengan perangai isterinya. "dah-dah la tu. bukan mehei mane pasu tu, nanti kite gam kan balik ye yang," abang mat berseloghoh. kak senah  mencebik. 

TRANSLATION


Prangg!!! kedengaran bunyi benda pecah di luar rumah. kak senah menjenguk ke luar tingkap dari biliknya yang terletak bersebelahan dengan ruang tamu. alamak! pasu aku!

"Amin!!!!" lantang suara kak senah melaung, memanggil anaknya yang sudah berdesup lari bersembunyi di balik pokok rambutan di hadapan rumah. menggigil mendengar tempikan emaknya. kak senah mengikat rambutnya yang sudah kusut-masai kerana berbaring-baring tadi, merehatkan diri bak badak air kepenatan di atas katil. manakan tidak, daripada pagi bertungkus-lumus menyiapkan rumah yang bab tongkang pecah, anak-anaknya yang seramai lima orang itu masih kecil-kecil lagi. 

"Mane die budak ni? Hish, dapat dek aku nanti ni, siap la. Dengan rotan je aku sebat. dah berapa kali aku pesan, main jangan di sini. main la di depan sana tu, bukan takde tempat. tempat ni juge yang disukanya. habis pasu aku berderai /pecah..hiiisshhhhh!" bagai membentak saja kak senah. lagak budak yang tak dapat barang mainan. 

kebetulan siti, anaknya yang ketiga lalu di depan mata. "Siti," kak senah menyergah. terkedu anaknya itu, menoleh memandang emaknya yang bagai singa kelaparan. "abang kamu mana? abang kamu? amin? mana dia? mak nak rotan dia...dipecahkannya pasu mak. baru je mak beli dari ipoh hari tu. mahal tau tak?" siti terkebil-kebil memandang emaknya, "mak ni, bising la.orang (saya) nak main pun tak senang. mana la orang tau abang kat mane. orang dari rumah sakinah ni." mulut siti memuncung, tidak senang mendengar bebelan emaknya sedangkan bukan kesalahnnya pasu emaknya pecah.

satu motorsikal memasuki halaman rumah kak senah. "Ape bising-bising ni senah...dari jauh dah abang dengar," abang mat menegur. dia yang baru pulang daripada kerja hairan memerhatikan orang rumahnya yang tercegat bagai polis pencen di depan pintu. "amin ni hah, habis pecah pasu saya dilanggarnya. mana saya tak geram," kak senah mengadu. abang mat menggeleng-gelengkan kepala. faham benar dengan perangai isterinya. "dah-dah la tu. bukan mahal mana pasu tu, nanti kite gam kan balik ye yang," abang mat berseloroh/bergurau. kak senah  mencebik. 



Tuesday, December 7, 2010

Selamat...selamat...selamat...

Selamat....
Selamat...
Selamat pengantin baru....
eh,eh....
selamat bertunang...http://www.emocutez.com
eh,eh...nape aku pulak yang malu? hehe....

buat sepupuku yang manis...
nur adawiyah mohd dzazuli
dan pasangannya...(alamak, tak tau name plak http://www.emocutez.com



meriah majlis yang berlangsung....
ini baru bertunang...
kalau kahwin nanti....fuyooOO http://www.emocutez.com

semoga segala urusan akan berjalan lancar
hingga ke jinjang pelamin...
hingga ke anak cucu...
sampai akhir hayat...
amiin~


delegasi sedang berbincang http://www.emocutez.com


hantaran daripada pihak perempuan http://www.emocutez.com


hantaran pihak lelaki http://www.emocutez.com


upacara paling penting...
yeehaaaa...
dah sah!
http://www.emocutez.com

congratulation...
lalala~
http://www.emocutez.com

Tuesday, November 30, 2010

pelajaran satu...



*PERHATIAN!
Ruangan ini disediakan untuk kita sama-sama berkongsi bahasa....loghat kuale. bukan bertujuan untuk menunjuk-nunjuk atau menimbulkan kekonfiusan kepada anda mahupun untuk menyelewengkan anda daripada bahasa ibunda anda...cuma untuk berkongsi secebis bahagian daripada diri saya, hidup saya.itulah bahasa yang saya tuturkan. untuk makluman anda, setiap entry akan ditulis dalam loghat kuale yang saya tuturkan dan yang saya tahu, namun perlu diingatkan, tidak semua perkataan yang digunakan digunapakai oleh semua orang kuale, ada sesetengah perkataan hanya digunakan di tempat tertentu dan mungkin berbeza penggunaannya di tempat lain (contoh kampung lain) walaupun berada di daerah yang sama,iaitu kuala kangsar. ada sesetengah perkataan sudah jarang didengari kerana biasanya digunakan oleh orang lama. cara penuturannya pula mungkin tidak 100% sama dengan cara perkataan ditaip. buat sesiapa yang ingin menegur jika saya tersilap, ingin menambah jika ada yang saya terkurang, jangan segan-segan..komenlah saya =)

DIN:       assalamualaikum...
MAN:    wa'alaikummuussalam...pe habo yoep?
DIN:       habo baek...mike nok ke mane ni? beghie bebenor nampoknye...hehehe (gaye gelak oghang tue)
MAN:    hehehe (pakcik man pun gelak gaye oghang tue juge) awak nak ke bank...ade hei siket
DIN:      ade saje hei mike ni...teman nengok semenjok dua menjok ni, kulu kelor mike ye..? sebok     
bebenor...
MAN:    biasele...hei tanoh....
DIN:      hei tanoh? tanoh mike di baghoh tu? yang nok dijuei tu ke?
MAN:    ha'ah...dah ade oghang nengoknye. suke pulok  dia, nok dibelinye...ni awak tengoh nguruih hei dengan oghang tu le
DIN:      oohh...ghope tu. eh, takpe le mike. teman ni pon nok ke kedei, oghang ghumoh pesan beli telor   dengan nyor, nak buat koi...
MAN:    hah, yelah...awak pon nok kene pegi ni. bebaek bawok motor tu. jangan nyinggoh kedei kopi pulok..hahaha
DIN:     mike pon same...bebaek bawok ghete tu. 

translation


DIN:       assalamualaikum...
MAN:    wa'alaikummuussalam..apa khabar yoep?
DIN:       khabar baik...kamu nak ke mana tu? beria-ia benar nampaknya...hehehe (gaya gelak orang tua)
MAN:    hehehe (pakcik man pun gelak gaya orang tua juga) aku nak ke bank...ade hal sikit
DIN:      ada saja hal kamu ni...aku tengok semenjak dua menjak ni, ke hulu ke hilir kamu ye..? sibuk   benar...
MAN:    biasalah...hal tanah....
DIN:      hal tanah? tanah kamu di baruh (berdekatan sungai/ lawan darat) tu? yang nak dijual tu ke?
MAN:    ha'ah...dah ada orang tengoknye. dia suka pula, nak dibelinye...ni aku sedang menguruskan hal dengan orang tu le
DIN:      oohh...macam tu. eh, takpe le. aku ni pun nak ke kedai, isteri aku pesan beli telur   
dengan kelapa, nak buat kuih...
MAN:    hah, yelah...aku pun nak kena pergi ni. baik-baik tunggang motorsikal tu. jangan singgah ke kedai kopi pulak..hahaha
DIN:     kau pun sama...baik-baik pandu kereta tu. 


Akurlah (pada tinta itu)

Mencari makna di sebalik 
tiap kata dan tingkah
kadangkala mudah
kadangkala payah
kadangkala terang bersuluh
kadangkala gelap tersembunyi

Menyingkap hikmah di balik
tiap senyum dan tangis
tak seperti melihat 
muncul sang pelangi selepas hujan...
mata perlu dibuka
jiwa harus disuci
tangan minta didepang
buat menadah penjelasan hakiki
biar perit
biar pedih

Tak semua yang indah itu
membuai
adakala ia pisau
menggarit luka

Tak semua yang buruk itu
menjengkelkan
selalunya jadi penawar
jadi pedoman
yang lupa diri

Dada yang lapang
biar ia membusung
dengan cinta
redha 
pada tinta 
Pemiliknya



Google image search

Thursday, November 25, 2010

Dalam Diam 10

Kamil mengeluh. Sudah berkali-kali dia menghubungi gadis itu namun satu pun tidak berjawab. Naik bosan dia menunggu. Otaknya ligat memikirkan kemungkinan-kemungkinan yang ada, mengapa gadis itu berdiam diri. Yang peliknya, mesejnya dibalas pula. Tiada masalah. Handphone rosakkah? Matanya merayap mencari pondok telefon awam yang ada. Ingin mencuba nasib. Huh, tiada pula! Yelah, zaman-zaman begini sudah jarang orang menggunakan perkhidmatan tersebut maka berkuranglah juga yang disediakan. Dia marahkan aku lagi ke? Hari tu pun,dia buat macam ni juga. Tapi kali ni, kenapa pula? Baru minggu lepas berbaik semula. Kamil mengomel sendirian. Hatinya tertanya-tanya.

You’ve missed a special day,” itu jawapan Najwa apabila ditanya sebab Nurin membisu. Tercengang dia. “What special day?” Kamil bingung. Seingatnya tiada apa-apa yang istimewa berlaku sepanjang minggu ini, tiada juga acara tertentu bersangkutan dengan Nurin yang perlu dihadirinya. “Find out yourself, dude,” Najwa mematikan talian. Kamil memandang telefon bimbitnya lama. You’ve missed a special day. What day is that? Dia tertanya-tanya sendiri.

Aziz mengurut-urut dagunya yang tidak berjanggut itu. Kamil memusing-musingkan pensel di tangannya. Kedua-dua jejaka itu nampaknya serius sekali. Seorang di kerusi, seorang bersila di atas meja. “Hah!” Aziz bersuara lantang. Kamil memandang Aziz dengan pandangan tajam, “Nasib baik aku takde sakit jantung, tau!” Aziz memandang Kamil sambil tersengih, “Sorry bro.” “Mil, birthday Nurin bila?” Aziz bertanya. Birthday Nurin? Kamil mengetuk-ngetuk pensel di atas meja. “Ehm…tak ingatlah,” Kamil membuat muka blur. Aziz bangun daripada kerusi, menarik tangan Kamil agar sahabatnya itu turun dari meja. “Aku rasa itu ialah jawapannya,” Aziz menarik Kamil pergi.

“Nurin,” Kamil menegur Nurin dari arah belakang. Nurin berpaling, mengukir senyum nipis. Kamil menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Lagaknya gelisah seperti kucing mahu beranak. Nurin mengangkat kening. “Ehm…aku minta maaf. Aku tak ingat langsung birthday kau. Sorry Nurin,” Kamil membuat muka kasihan, menagih kemaafan daripada gadis kesayangannya itu. Memang salahnya kerana tidak mengingati hari lahir kesayangannya itu, tapi lebih salah lagi kerana walaupun dia tahu yang dia tidak pantas mengingati tarikh lahir-tarikh lahir orang di sekelilingnya, dia tidak pula membuat sebarang catatan. Memang salahnya jika Nurin marah. Dia yang tidak prihatin. Mujur ada Aziz yang memang terkenal sebagai buayeish. Dia memang cepat dalam bab-bab ni.

 Nurin mencerlungkan matanya memandang Kamil. Kamil sudah tidak senang berdiri. Janganlah marah wahai gadisku! “Sampai hati kau lupa. Aku tunggu kau wish tau, tapi sampai sekarang tak de pun. Menyampahlah!” gadis itu memuncungkan bibir. Kamil tersenyum sumbing. “Sorry, I’m really sorry. Aku memang not that type yang ingat birthday orang ni. Sorry Nurin,” Kamil memohon maaf sekali lagi. Dia tidak suka tersepit dalam situasi di mana Nurin bermasam muka dengannya, hatinya rasa tidak tenteram. “Lain kali jangan buat lagi tau!” Nurin memberi amaran sambil berlalu pergi. Kamil memandang Nurin yang semakin menghilang dengan  hairan. Marah lagikah dia padaku?

***

Izwan mengerling jam di tangan kirinya. Sudah sepuluh minit dia menunggu namun orang yang ditunggu masih belum tiba. Pen di tangan dipusing-pusing. Dia memandang sekeliling. Beberapa orang sedang beratur di kedai mamak, manakala kedai-kedai lain lengang. Segelas minuman diletak di hadapannya. Dia mengangkat muka. Seraut wajah manis terpampang di layar matanya. 

Gadis yang baru tiba itu mengambil tempat di hadapan kerusi kosong di sebelahnya. “Minumlah. Aku belanja tanda minta maaf sebab lambat,” ujar gadis itu. Izwan tersengih. Untung aku, dapat air free hari ni! “Macam tau-tau je aku suka milo ais mamak?” Izwan bertanya. “Dah setiap kali aku jumpa kau, air tu je yang kau minum. Takkan tak suka tapi selalu minum kot?” gadis itu bertanya kembali. Izwan tersenyum, menghirup air milo kegemarannya. “Mana yang lain?” si gadis bertanya. “Kejap lagi sampai lah tu. Ehm, apa kata kau terangkan dulu pada aku pasal early adulthood stage ni? Aku kan tak datang kelas semalam, tau-tau je dah kene buat kerja. Nasib baik satu group dengan kau,” Izwan menyelak-nyelak buku di hadapannya, menuju ke muka surat 413. 

“ Tu lah kau. Siapa suruh ponteng. Nasib baik dapat group aku yang best ni,” si gadis ketawa sebelum menyambung, “ Ok, aku ceritakan sikit pada kau. Early adulthood ni ialah stage yang akan kita tempuhi apabila kita berumur antara 18 hingga 25 ke 30 tahun. Keypoint yang perlu kita tumpukan untuk stage ni ada dua, sama dengan stage yang kita dah belajar iaitu physical and cognitive development dan juga socioemotional development. In this stage, adults are at their peak physical performance, often between the age of 19 until 26. Early adults have higher mortality rate, as they are prone to accidents, especially vehicle and at workplace accidents. They are sexually active. Their cognitive development…” 

Wednesday, November 24, 2010

makhluk emosi

wanita...
makhluk emosi...

kenapa aku katakan wanita?
tidak perempuan?
kerana selalunya...
perempuan hanya banyak songeh...
tapi wanita
banyak emosi...
(hahaha...betul ke?)

wanita...
makhluk emosi...

gembira, sedih
benci, cinta
sayang, marah
geram, suka
bahagia, kecewa

wanita...
makhluk emosi...

kerana satu perkataan
dia boleh terluka
kerana sepotong ayat
yang terpacul
daripada bibir
insan kesayangannya
dia boleh merana

air mata jadi mainan
gembira dia
sedih dia
geram dia
kecewa dia
suka dia
bahagia dia
terkandung dalam aliran deras
air hangat
di pipi

wanita...
makhluk emosi...

egonya lebur
di kakinya sendiri
kerana cinta
kerana rindu

wanita...
makhluk emosi...

hatinya hancur
di tangannya sendiri
jadi korban
sayang
cinta

wanita...
makhluk emosi...




Thursday, November 4, 2010

kampung kambing tak mandi pagi

Alkisah...
maka tersebutlah kisah....

namaku mat bunga..
aku tinggal di sebuah kampung...
kampung kambing tak mandi pagi...

kampungku aman dan damai. rakyatnya hidup bahagia, saling tolong menolong antara satu sama lain. tetapi, satu hari yang indah, sedang rakyat kampung sibuk dengan kerja masing-masing, satu keributan telah berlaku. bukan ribut yang melanda, tetapi garuda yang sangat besar menceroboh kampung kambing tak mandi pagi. kehadiran garuda itu sangat menakutkan rakyat kampung. dengan mata merahnya yang terjojol keluar, dengan jambul sejemput yang seghogoi seghabai, dengan bau badan yang...hhaaa..hhaaaa..hhhaaaachhummmMMM!! bertempiaran lari rakyat kampung, bersembunyi di hutan dan gua. garuda yang ternganga melihat ketempiaran rakyat kampung lantas menculik seorang tebusan. seorang wanita berambut besar, berbaju liplapliplap yang sedang sibuk bersolek di hadapan cermin kedai makan.

suasana senyi sepi. mangli.

rakyat kampung kambing tak mandi pagi bergegas keluar daripada persembunyian melihat kehilangan garuda tadi. garuda telah terbang kembali ke sarang membawa tebusan, seorang perempuan berambut besar, berbaju liplapliplap yang ketika diculik, sedang sibuk bersolek di hadapan cermin kedai makan.

suasana kembali aman. rakyat kampung meneruskan kerja masing-masing.

"GARUDA DATANG!!! GARUDA DATANG!!!!" satu suara lantang kedengaran. rakyat kampung bersedia untuk lari, tapi..eh,eh, mengapakah tiada keributan. rakyat kampung membulatkan mata, meliarkan pandangan ke sana sini, mencari bayang garuda yang menakutkan.

"GARUDA DATANG!!!" suara itu kedengaran lagi.

dari satu arah, satu bayang-bayang makin menghampiri. pemilik bayang-bayang itu, seorang perempuan berambut besar, berbaju liplapliplap yang ketika diculik oleh garuda, sedang sibuk bersolek di hadapan cermin kedai makan. rakyat kampung ternganga. ajaib! dia selamat.dia selamat setelah sebulan hilang diculik. dia selamat...


seorang perempuan berambut besar, berbaju liplapliplap yang ketika diculik oleh garuda, sedang sibuk bersolek di hadapan cermin kedai makan kembali...membawa sebatang penyapu.


suasana kampung berubah.

penyapu itu, penyapu ajaib. setiap kali perempuan berambut besar, berbaju liplapliplap yang ketika diculik oleh garuda, sedang sibuk bersolek di hadapan cermin kedai makan mencabut satu bulu pada penyapu itu, setiap rakyat kampung seperti dipukau. setiap kata-kata perempuan berambut besar, berbaju liplapliplap yang ketika diculik oleh garuda, sedang sibuk bersolek di hadapan cermin kedai makan akan dituruti. tiada seorang pun yang berani membantah, bahkan untuk mengangkat muka pun tidak mampu, apatah lagi untuk mengatakan "AHH!!"

kampung kambing tak mandi pagi berubah. ketua kampung senyap mete. wakil rakyat turun site sesaje. imam tak kata apa-apa. tok siak tak setakat menyapu masjid, balai raya pun dah jadi gelanggang kerja. pekedai penggerai bersorak gembira, iyelah perempuan berambut besar, berbaju liplapliplap yang ketika diculik oleh garuda, sedang sibuk bersolek di hadapan cermin kedai makan punya hobi sakan berbelanja. rakyat marhaen geleng-geleng kepala, anak-anak kecil terlompat terkinja diberi mainan segala. cikgu-cikgu sakit kepala, anak murid becok bertanya.

garuda datang sekali lagi, kali ini tanpa keributan, cuma bersama desiran angin "pstt...psstttt...". ketibaannya disambut dengan paluan tabla dan persembahan tarian singa. makanan barat jadi hidangan. pertunjukan fesyen ahli-ahli sihir dipertontonkan. semuanya idea perempuan berambut besar, berbaju liplapliplap yang ketika diculik oleh garuda, sedang sibuk bersolek di hadapan cermin kedai makan. mentor dan protege katakan!

garuda berpuas hati dengan keadaan kampung kambing tak mandi pagi. semuanya berada dalam keadaan baik-baik belaka. tiada yang baik melainkan yang baik belaka. ketua kampung utamakan pembinaan bangunan dan kompleks membeli-belah baru, wakil rakyat menjaga kebajikan orang-orang kaya dan wanita-wanita kaya, imam dan geng surau kurangkan aktiviti dakwah, tok siak sibuk mencari pentas untuk dipasang di masjid buat perempuan berambut besar menyampaikan ceramah, pekedai penggerai sibuk mempromosi barangan kedai mereka lupa sembahyang, anak-anak kecil kenal A,B,C katanya 'alif'  itu kayu, 'ya' itu itik. rakyat marhaen geleng-geleng kepala, cikgu-cikgu sakit kepala, anak murid becok bertanya.

GARUDA





Perempuan berambut besar yang diculik...ini hanyalah ilusi kerana perempuan berambut besar tak secantik ini!


Friday, October 22, 2010

rasa itu...

kenapa kita rasa gembira?
sebab...
kita ada orang untuk disayangi

kenapa kita rasa bahagia?
sebab...
ada orang yang sayang kita

kenapa kita rasa sedih?
sebab...
orang yang kita sayang
tak sayang kita macam kita sayang dia

kenapa kita rasa kecewa?
sebab...
kasih sayang kita tak berbalas
bertepuk sebelah tangan

kenapa kita rasa geram?
sebab...
orang yang kita sayang
buat benda yang kita tak suka
bukan kita pentingkan diri sendiri
tapi...
kita tak nak dia susah,sedih,sakit

kenapa kita rasa gembira?
sebab...
apa yang kita nak,kita mintak
kita dapat

kenapa kita rasa bahagia?
sebab...
apa yang kita ada
dah cukup untuk kita
dah melengkapkan diri dan hidup kita

kenapa kita rasa sedih?
sebab...
apa yang kita ada
hilang,pergi daripada kita

kenapa kita rasa kecewa?
sebab...
kita tak pernah hargai apa yang kita ada
bila dah takde, barulah kita sedar
betapa berharganya, bernilainya
sesuatu itu pada kita

kenapa kita rasa gembira?
sebab...
usaha kita, kerja kita, ekspresi diri kita selama ini
ada orang yang nampak, ada orang yang tahu

kenapa kita rasa bahagia?
sebab...
akhirnya
usaha kita, kerja kita, ekspresi diri kita
dihargai

kenapa kita rasa sedih?
sebab...
ada orang yang dengki, iri, hasad
tengok usaha,kerja dan ekspresi diri kita
sambil menjaja cerita-cerita tak enak

kenapa kita rasa kecewa?
sebab...
usaha,kerja dan ekspresi diri kita
akhirnya jadi sia-sia
sebab...
dengki, iri,dan hasad tadi

kenapa kita rasa geram?
sebab...
ada orang ambil kesempatan
cipta nama
atas usaha,kerja dan ekspresi diri kita

kenapa kita ada semua rasa tu?
sebab...
kita manusia
yang tercipta daripada tanah 
ditiupkan rohNya oleh Tuhan
lengkap dengan akal, rasa dan jiwa
untuk mentafsir dan mena'akul makna 
yang tersirat
di balik setiap tingkah

tak perlulah merasa 
gembira
bahagia
sedih
kecewa
geram
berlebihan
bukan aku menidakkan hak untuk merasa
tidak!
tetapi
biarlah 
rasa itu berpada
adil
pada tempatnya

pabila gembira
ingat Dia
yang memberi rasa itu
sebarkan rasa itu
agar orang lain dapat merasa nikmatnya
pabila bahagia
syukur padaNya
yang melimpahkan rasa itu
nikmati rasa itu
agar kehadirannya membias hangat pada orang lain
pabila sedih
kembali padaNya
kerana Dia
pendamping paling setia
rela mendengar segala keluh kesah
aduan dan rintihan
hingga air mata kering sendiri
pabila kecewa
ingat janjiNya
"setiap perkara ada hikmah
tersembunyi di sebaliknya
hanya orang yang sabar
akan dapat mengutip mutiara"
pabila geram
alunkan kalimah-kalimahNya
agar reda gelora rasa
biar tenang ombak dada

 apa kau rasa? 
 

Sunday, October 17, 2010

Egokah itu?

Terkadang
merenung masa silam
menyedarkan aku
betapa kotornya diri ini
penuh debu dosa 
pada Tuhan dan ibu ayah
bersalut kotornya ego 
pada rakan dan taulan
terbelit padaku
rantai rasa bersalah
tak pernah berubahkah kau
wahai diri?
atau
perubahanmu....
(merenung langit luas)

Acapkali
wajah jernih kau keruhkan
mata yang bersinar kau alirkan suci airnya
senyum manis kau matikan
hati tenang kau kocakkan
teganya kau
berdiam di situ
seolah tiada apa
untuk kau sesalkan
ego...

Mereka tidak tahu
betapa sakitnya hatiku
saat
wajah jernih kukeruhkan
mata bersinar ku sayukan dengan linang air mata
senyum manis tidak bergula lagi
hati tenang
kukocakkan

Warna-warni hati
jika tak diterjah
tiada siapa tahu
jika tak ditebak
tiada siapa mengerti
warna-warni hati
pantas 
terlakar di wajah polos
namun
andai wajah polos itu
kau keraskan
bagaimana mungkin
jiwa kecilmu dapat dibaca?
ego...
kau ego...

Semakin lama aku bernafas
semakin jauh aku berjalan
semakin kenal aku 
erti
makhluk Tuhan 
yang itu
tak semua senang dibaca
tak semua mudah diteka

Jika menyimpan itu mudah
simpanlah
jika meluahkan itu lega
luahkanlah
jika mempamerkan itu terbaik
pamerkanlah
jika berdiam itu kesukaan
kesenangan
egokah itu?

Semua percaya 
makhluk Tuhan itu
berbeza
luar, dalam
tak salahlah
kalau aku
berdiam
egokah itu?

Source: Yahoo Search

Wanita Seluruh Dunia

Artist : Projek Pistol

Wahai wanita..
Wanita
yang berada di seluruh dunia
Tak kira bangsa, umur atau rupa
Oh..asalkan kau wanita..

Kau buat ku gila..
Bila kau menggoda
Bila kau mengada-ngada
Oh..lirikan mata senyuman manisnya
Oh..kau buat aku tergoda..

Wanita seluruh dunia ku ingin kau tahu
Yang aku cinta kamu semua wahai permaisuriku
Dan walaupun ku tak mampu membahagikan diriku
Kepada wanita seluruh dunia
Lagu ini lagu cinta untuk kamu semua
Untuk kamu semua..

Wahai wanita..
Adakah kau mengerti apa yang aku kata
Kamu semua adalah inspirasiku bila ku berkarya
Ku tuliskan lagu hanyalah untukmu
Untuk buat hari kau ceria
Dan aku tak kisah mana kau berada
Ku ingin kau dengar ku berkata..


Monday, September 27, 2010

Kerana sayang...




Di dalam sebuah kampung, tinggal seekor anak kucing dan anak ayam. Mereka berdua saling menyayangi antara satu sama lain. 


Pada suatu hari, anak kucing itu melawat anak ayam di rumahnya. Ketika itu, anak ayam sedang makan. Melihat kedatangan anak kucing, anak ayam lekas-lekas menuju ke dapur dan meminta ibu ayam menyediakan satu lagi hidangan, “Kawan saya datang,” katanya. Setelah siap, makanan pun dihidangkan kepada anak kucing. Anak kucing memandang pelik makanan yang terhidang di hadapannya. “Macam mana aku nak makan ni?” katanya dalam hati sambil matanya tak lepas-lepas memandang gandum dan ulat di dalam piring tempurung itu. “Makanlah, makan, jangan malu-malu,” kata anak ayam. Dirapatkan piring itu kepada anak kucing. Anak kucing memandang anak ayam, “Saya tak makan ini semua. Saya makan ikan.” Anak ayam memandang anak kucing tidak percaya, “Awak tak makan makanan yang saya makan? Awak tak makan benda yang sama dengan saya? Awak tak suka makanan saya?” “Bukan,” balas anak kucing, “Bukan saya tak suka tapi memang keturunan saya tak makan apa yang awak makan ini.” Anak ayam berasa sedih, sangkanya apa yang disukainya, juga disukai oleh kesayangannya itu.
Pada suatu hari yang lain, anak kucing dan anak ayam berjalan-jalan di pekan. Melihat satu topi yang sangat cantik, anak ayam teringin menghadiahkannya kepada anak kucing. Setelah berjalan sedikit jauh daripada kedai yang menjual topi tersebut, anak ayam berpura-pura ingin ke tandas, bersendirian. Hasratnya mahu membuat kejutan dengan topi itu. Dalam perjalanan pulang, di simpang jalan yang memisahkan lorong ke rumah anak ayam dan anak kucing, anak ayam menghulurkan bungkusan hadiah yang berbalut indah.  Anak kucing yang teruja menerima hadiah daripada kesayangannya itu membuka hadiah itu di situ juga. Berubah air mukanya saat matanya menatap topi kuning bercorak bunga-bunga itu. Comel tetapi… “ Anak ayam, saya tak suka warna kuning.” Anak ayam terkedu. Sangkanya selama ini dia sudah mengetahui warna kesukaan kesayangannya itu tetapi rupa-rupanya dia salah.
Pada satu hujung minggu, anak ayam dan anak kucing bercadang menonton wayang bersama-sama. Sesampainya mereka di panggung wayang, mereka berdua begitu teruja melihat senarai cerita yang ditayangkan. “Saya nak tengok cerita seram!” kata anak ayam. “Saya nak tengok cerita cinta!” kata anak kucing. Mereka saling berpandangan. “Kita tengok cerita seramlah,” pujuk anak ayam. “Saya takut, kita tengok cerita cinta eh? Best…” ajak anak kucing. Anak ayam menarik muka masam, pura-pura tak mahu sedangkan sebenarnya dia tidak kisah pun untuk menonton mana-mana cerita asalkan dapat menontonnya bersama-sama anak kucing. Anak kucing merajuk dan berlalu pergi. Anak ayam mengejar anak kucing, “Jom lah, kita tengok cerita cinta.” Anak kucing menggelengkan kepala, terasa hati dengan anak ayam. Tak fahamkah anak ayam yang dia takut menonton cerita seram? “Kita tengok cerita cinta eh? Jom…” tarik anak ayam. Anak kucing akhirnya mengikut langkah anak ayam.
Pada satu hujung minggu yang lain, anak ayam terjatuh ketika bermain-main dengan anak kucing. Kakinya sakit, namun didiamkannya kerana tidak mahu mengganggu mood anak kucing yang sedang sangat gembira. Setelah sampai di rumah, anak ayam mendapati kakinya lebam dan bengkak. Tiga hari anak ayam berehat di rumah sehingga kakinya benar-benar sembuh. Tiga hari jugalah anak ayam tidak keluar bermain dengan anak kucing. Pada hari keempat, anak ayam berjumpa dengan anak kucing. Anak kucing bertanyakan alasan mengapa anak ayam tidak keluar bermain, barulah anak ayam menyatakan perkara sebenar kepada anak kucing. Anak kucing tergamam, tidak menyangka kesayangannya itu merahsiakan keadaan kesihatannya daripada pengetahuannya. Anak kucing berkecil hati, merasakan dirinya tidak penting di hati anak ayam. “Sampai hati awak anak ayam. Tak pentingkah saya pada awak sampai perkara ni pun awak tak nak bagitau saya?” Anak ayam menggeleng-gelengkan kepalanya. Dia tidak mahu anak kucing risau sekiranya tahu keadaannya menyebabkan dia merahsiakannya daripada pengetahuan anak kucing.
Kerana sayang, kadangkala kita membuat sesuatu untuk orang yang kita sayangi, tanpa mengetahui apa yang kita lakukan itu tak semestinya disukai olehnya.
Kadangkala, kita menyangka yang kita sudah mengetahui segala-galanya tentang orang yang kita sayang, tanpa kita sedari sebenarnya banyak lagi tentangnya yang kita perlu pelajari dan fahami
Kerana sayang, kita sanggup berbuat apa sahaja bahkan mengenepikan kepentingan dan kesukaan kita sendiri, semata-mata untuk melihat senyuman orang yang kita sayang kerana senyuman itulah yang menyinari hidup kita dan menggembirakan kita saat kita bersedih
Kerana sayang, kita cuba sedaya upaya kita untuk menjaga hati orang yang kita sayang daripada dilukai namun kadangkala, kitalah yang sebenarnya menjadi penyebab kepada kesedihan dan kelukaan hatinya…